suria

Raihan, Afifi, Aricco Terus Buru Tiket Kelayakan Ke Olimpik London 2012

KUALA LUMPUR: Kegagalan skuad angkat berat negara mendapat tiket kelayakan ke Olimpik London 2012 pada Kejohanan Kelayakan Olimpik peringkat dunia di Perancis, November lepas, tidak mematahkan semangat mereka untuk terus memburu tiket kelayakan di Kejohanan Angkat Berat Asia di Korea Selatan, April depan.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Adzhar Derani berkata tiga atlet iaitu Raihan Yusuf, Mohammad Afifi Jamaluddin dan Aricco Jumitih yang sebelum ini beraksi di Perancis, dipilih untuk menggalas cabaran itu.

Namun keputusan akhir mengenai penghantaran mereka masih belum diputuskan secara rasmi oleh PABM.

"Kita percaya peluang di Korea Selatan adalah lebih luas namun ia bukan perkara mudah kerana jaguh angkat berat Asia seperti China dan negara-negara Arab pasti tidak akan melepaskan peluang tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Adzhar berkata ketika beraksi di Perancis, ketiga-tiga atlet angkat berat negara itu terpaksa menghadapi saingan sukar dengan kehadiran jaguh-jaguh angkat berat dunia dari negara seperti Rusia dan Ukraine.

"Berbekalkan latihan berterusan mereka sebelum ini, saya harap Raihan, Afifi dan Aricco mampu melakukan angkatan yang terbaik dan seterusnya layak untuk beraksi di London ," kata Adzhar.

Beliau berkata Raihan dipilih untuk beraksi dalam kategori wanita 58kg manakala Mohammad Afifi dan Aricco dalam kategori lelaki 69kg.

Adzhar berkata jaguh angkat berat negara Amirul Hamizan Ibrahim, 30, tidak dihantar kerana faktor kurang persiapan.

Amirul Hamizan pernah beraksi di Sukan Olimpik Beijing 2008 namun gagal meraih sebarang pingat apabila hanya sekadar berjaya memecah rekod kebangsaan dengan angkatan keseluruhan 265kg. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain