suria

Masziyaton Cari Tajaan Sertai Tiga Kejohanan Eropah Buru Mata Ke Olimpik

ALOR SETAR: Atlet basikal bukit negara Masziyaton Mohd Radzi mungkin terpaksa melupakan hasratnya untuk beraksi pada Sukan Olimpik 2012 London apabila gagal mendapatkan penajaan untuk menyertai tiga kejohanan di Eropah yang diharapkan dapat membantunya layak ke sukan berprestij itu.

Masziyaton, 23, berkata beliau perlu menyertai tiga kejohanan di Eropah itu bagi membolehkannya melayakkan diri menyertai sukan itu.

"Saya kini telah mengumpul 135 mata dan perlu menyertai ketiga-tiga kejohanan luar negara bagi mendapatkan 65 mata, menjadikan 200 mata untuk layak tersenarai ke Sukan Olimpik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya beliau memerlukan penajaan kewangan berjumlah RM76,000 bagi menyertai kejohanan di Itali, United Kingdom dan Switzerland mulai April tahun depan.

Masziyaton kini hanya mendapat penajaan kecil daripada Pasaraya Giant yang menyumbang basikal dan Kedai Kayuh Gerek di sini yang menyumbangkan peralatan basikal untuknya menyertai beberapa kejohanan dalam dan luar negara sebelum ini.

Katanya disebabkan sukan tersebut masih baru di negara ini, tidak banyak syarikat gergasi yang tampil sebagai penaja.

Masziyaton sebelum ini meraih pingat perak pada Sukan SEA Indonesia November lalu dan kini mensasarkan memperoleh pingat dalam Sukan Olimpik pertamanya tahun depan.

Tahun lalu, pada edisi pertama Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC), Masziyaton muncul juara keseluruhan wanita apabila menguasai kedua-dua acara iaitu acara lasak dan merentas desa.

Bagaimanapun pada LIMBC Oktober lepas yang menyaksikan penyertaan ramai atlet bertaraf antarabangsa, Masziyaton sekadar menduduki tempat kelapan keseluruhan.

Masziyaton berharap ada pihak yang sudi menawarkan penajaan bagi membolehkannya meneruskan cita-citanya dan sekaligus menyumbang pingat buat negara melalui acara tersebut.

Sementara itu Penyelaras Sukan Berbasikal Negeri Kedah Nor Alfizar Othman yang juga jurulatih Masziyaton bimbang sekiranya atlet itu gagal mendapatkan penajaan, beliau tidak dapat menyertai tiga kejohanan di Eropah, menyebabkannya tidak layak ke Olimpik London.

Katanya beliau juga telah membuat persiapan awal bagi membantu Masziyaton dan seorang lagi atlet berbasikal negara Mohd Fattah Amri Zaid yang layak ke Sukan Olimpik 2016 Rio de Janeiro, Brazil.

Terdahulu syarikat Bina Darul Aman Berhad (BDB) menyerahkan cek penajaan sebanyak RM50,000 kepada Persatuan Berbasikal Negeri Kedah bagi membolehkan persatuan tersebut membeli peralatan basikal baru sebagai persediaan menghadapi Sukma dan kejohanan-kejohanan lain.

Cek disampaikan oleh Pengarah BDB Datuk Paduka Mohd Saad Endut kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan Sukan, Kesenian dan Warisan dan Kebudayaan Negeri Datuk Hamdan Mohamed Khalib yang turut disaksikan Masziyaton dan Mohd Fattah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain