suria

PKNS FC Sasar Kelompok Enam Terbaik Liga Super 2012

SHAH ALAM: Pendatang baru Liga Super, PKNS FC mensasarkan kedudukan enam tangga teratas dalam saingan liga musim depan yang akan bermula 10 Januari ini.

Selaku juara Liga Perdana musim lepas, PKNS FC layak secara automatik untuk beraksi dalam Liga Super musim depan, dan Presidennya Norhisham Mohd Ghouth menganggap sasaran itu realistik setelah mengambil kira kekuatan 13 pasukan lain yang akan bersaing dalam liga tersebut.

"Kita yakin bahawa sasaran tersebut mampu dicapai oleh pasukan kita sekiranya semua pihak bermain pada tahap dikehendaki oleh pihak pengurusan.

"Kita tidak mahu bermain pertama kali dalam Liga Super dan menyasarkan tangga teratas kerana ia merupakan suatu perkara sukar dicapai pasukan seperti kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis pengenalan pemain pasukan kepada media, termasuk dua pemain import dari Perancis iaitu Micheal Joseph Nicoise dan Helmi Loussaief, di sini.

Pasukan itu yang rata-ratanya dibarisi pemain muda mengekalkan 13 pemain lama, selain mengambil 12 muka baru termasuk bekas penyerang Selangor, Rudie Ramli, bekas penjaga gol Kuala Lumpur, Mohd Remezey Che Ros dan bekas pertahanan Terengganu Helmi Remeli.

Sementara itu, jurulatih pasukan Abdul Rahman Ibrahim berkata beliau akan cuba mencari keserasian di antara pemain menerusi dua perlawanan persahabatan menentang pasukan bawah 23 tahun Singapura, Lions XII pada Rabu depan dan Sime Darby FC pada 31 Dis ini.

Beliau berkata pasukan tersebut sebelum ini telah mengadakan dua perlawanan persahabatan pada jelajah pramusim menentang juara Liga Perdana Vietnam, FC Saigon.

"Pada perlawanan pertama kita kalah, 0-1 sebelum bangkit mencatatkan kemenangan 4-1 mungkin kerana mereka terlalu yakin untuk menang dan kita mempamerkan semangat juang yang tinggi," katanya.

Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dikekalkan sebagai venue utama pasukan tersebut untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Mereka akan memulakan aksi menentang Johor FC di tempat lawan pada 10 Jan ini.

SENARAI PEMAIN:

Mohd Remezey Che Ros, Razi Effendi Suhit, Mohd Hafidz Romly, Fahrul Nizwan Abdul Nasir, Mohd Fadhil Hashim (Kapten), Mohd Zulharis Mohd Nor, Ahmad Azlan Zainal, Helmi Remeli, Farouk Hashim, Muhd Faizal Nasir, Mohd Fauzan Dzulkifli, P. Rajesh, Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Muhd Khairu Azrin Khazali, Mohd Norhafizzuan Jailani, Mohd Idris Ahmad, Azwan Abdul Malek, Mohd Fazli Baharudin, Ahmad Shahril Zakaria, Mohd Nazrin Syamsul Bahari, Helmi Loussaief, Mohd Khairul Akhyar Husain, Muhd Asyidi Dil Ashar Yusof, Rudie Ramli, Micheal Joseph Nicoise. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain