suria

Kehadiran Pemain Import Tidak Gugat Pemain Tempatan

KUALA TERENGGANU: Kehadiran dua pemain import tidak akan mengganggu kedudukan pemain tempatan dalam pasukan bola sepak Terengganu, malah akan merancakkan lagi arena bola sepak tempatan.

Penyerang tengah skuad Penyu, Mohd Ashaari Samsudin berkata tanggapan peminat bahawa kehadiran pemain dari Brazil, Tercio Nunes dan Muhammadou Suamarez dari Gambia akan menggugat pemain tempatan adalah tidak tepat.

"Saya rasa mereka dapat membantu pemain tempatan mempelajari teknik baru dalam permainan menjelang perlawanan Liga Malaysia musim depan.

"Kehadiran mereka juga menguatkan lagi azam saya memberi untuk mempamerkan aksi yang lebih cemerlang," katanya ketika dihubungi, di sini Rabu.

Pemain berusia 26 tahun itu juga berkata kehadiran pemain import turut mewujudkan persaingan sihat antara pemain bagi memastikan mereka berada dalam kesebelasan utama.

"Malah kehadiran Tercio Nunes dan Muhammadou Suamarez juga dijangka mampu menarik kehadiran penyokong di stadium untuk melihat aksi mereka ketika di padang," katanya.

Beliau juga berpandangan dua pemain import itu cepat menyesuaikan diri dan sudah mempunyai keserasian bersama pasukan, sepanjang perlawanan persabahabatan di Kuala Lumpur tempoh hari.

Ashaari yang merupakan pemenang Kasut Emas tahun lepas, berkata tumpuan beliau untuk musim depan ialah membantu skuad Penyu menjuarai sekurang-kurangnya satu piala yang dipertandingkan.

Pada musim yang baru berakhir Terengganu muncul Naib Juara Liga Malaysia di belakang pasukan Kelantan, juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia 2011.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain