suria

Sukan Para Asean: Malaysia Raih 51 Emas, 35 Perak Dan 42 Gangsa

SOLO, (INDONESIA): Pemburuan pingat kontinjen negara pada hari terakhir Temasya Sukan Para Asean 2011 ditutup dengan kutipan keseluruhan 51 pingat emas, 35 perak dan 42 gangsa meletakkan Malaysia di tangga ketiga carta kedudukan pingat Isnin.

Daripada sembilan emas yang dimenangi kontinjen negara hari ini, tiga pingat adalah dari acara tenpin boling, dua menerusi olahraga, dua dari badminton dan masing-masing satu dalam acara renang dan powerlifting.

Thailand terus menguasai tempat pertama dengan kutipan 115 pingat emas, 94 perak dan 71 gangsa mendahului tuan rumah Indonesia, yang mengumpul 107 emas, 99 perak dan 83 gangsa.

Acara tenpin boling menjadi penyumbang terbesar dengan kutipan tiga pingat emas menerusi beregu campuran Wong Kee Soon dan Abu Bakar bagi kategori TPB9 (buta) dengan 1,924 jatuhan pin; trio campuran boling negara kategori TPB1, 2 dan 3 yang dibarisi Ku Izhan Ku Harun, Choo Kan Chai dan Azli Pinang dengan jatuhan 1,576 pin serta trio lelaki kategori B8, B9 dan B10 (buta) yang dibarisi Badrul Rahman, Wong Kee Soon dan Zahidi Lamsah yang melakukan 1,842 jatuhan pin.

Acara olahraga pula menyumbang dua pingat emas menerusi 4x 400 meter lelaki kategori T38 (cacat anggota) yang dibarisi Mohd Raduan Emari, Krishna Kumar Haridas, Nelson Sevilian dan Amir Firdaus Jamaluddin (4:05.20s), manakala satu lagi emas diraih dalam acara rejam lembing lelaki kategori F35 (cacat anggota) Davis Machang (27.43m).

Turut menyumbang dua pingat emas ialah acara badminton yang diraih Madzlan Saibon bagi perseorangan lelaki kategori BMW3 (kerusi roda) dan Cheh Liek Hou menerusi perseorangan lelaki kategori BMSTU5 (cacat anggota).

Sementara itu, atlet powerlifting Mohd Shahmil Md Saad yang beraksi dalam kategori 100kg ke atas lelaki berjaya memperbaiki rekod kejohanan dengan angkatan 187kg mengatasi rekod lama ciptaan Jaithon Opas dari Thailand (161.75kg) ketika beraksi di Sukan Para Asean 2009 edisi Kuala Lumpur.

Turut menyumbang pingat emas hari ini ialah perenang paralimpik negara Fraidden Dawan dalam acara 200m kuak lentang lelaki kategori S10 (buta) dengan catatan 02:32.46s. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain