suria

Skuad Bola Tampar Wanita Negara Raih Pingat Perak

SOLO (Indonesia): Skuad bola tampar duduk wanita paralimpik negara meraih pingat perak apabila tumpas 1-3 kepada pasukan tuan rumah, Indonesia di Gimnasium Manahan di hari terakhir temasya Sukan Para Asean 2011.

Pingat gangsa tidak dipertandingkan.

Jurulatih skuad bola tampar duduk wanita paralimpik negara, Yean Lai Haw berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya yang dilihat begitu bersungguh-sungguh berjuang menentang lawan.

"Ini kali pertama dalam sejarah skuad paralimpik, (pasukan) wanita (negara) berjaya meraih pingat perak. Pada awalnya saya dapat lihat kita mempunyai peluang besar untuk membawa balik pingat emas," katanya kepada Bernama di sini Isnin.

Yeah berkata ejekan penyokong Indonesia yang memenuhi stadium sedikit sebanyak menjejaskan tumpuan pemain dan menegaskan perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku.

Beliau berkata perancangannya selepas ini adalah untuk membentuk pasukan lebih kuat dan lebih bersedia untuk menghadapi Sukan Para Asean edisi Myanmar pada 2013.

Sementara itu, kapten skuad bola tampar duduk wanita paralimpik negara, Nor Ezazarina Mohd Nor berkata beliau dan rakan sepasukan kecewa dengan kegagalan merangkul emas.

"Kami akan lebih bersungguh-sungguh pada masa hadapan untuk memastikan pingat emas menjadi milik Malaysia pada Sukan Para Asean di Myanmar kelak," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain