suria

Olahraga Penyumbang Terbesar Pingat Emas Hari Kedua Para Asean

SOLO: Malaysia meraih 16 pingat emas, 10 perak dan 12 gangsa untuk melonjak ke tangga ketiga kutipan pingat keseluruhan selepas saingan hari kedua temasya Sukan Para ASEAN 2011 di sini Sabtu.

Acara olahraga menjadi lubuk emas negara apabila atlet negara menggondol 11 daripada 14 pingat emas yang ditawarkan dalam acara itu di Stadium Manahan di sini.

Selain olahgara, Malaysia turut memungut dua butir emas, masing-masing dalam acara memanah dan renang serta satu emas dalam acara tenpin boling.

Skuad olahraga negara juga turut menyumbang lapan perak dan 10 gangsa untuk membantu kontinjen Malaysia mengumpul keseluruhan 22 pingat emas, 17 perak dan 16 gangsa setakat ini.

Selepas tamat semua acara pada Sabtu, Thailand terus mengukuhkan penguasaan di persada carta pungutan pingat dengan 58 emas, 37 perak dan 32 gangsa manakala tuan rumah Indonesia memintas Vietnam untuk menduduki tangga kedua dengan mengumpul 38 emas, 43 perak dan 41 gangsa.

Vietnam jatuih ke tangga keempat dengan kutipan 20 emas, 29 perak dan 70 gangsa.

Atlet olahraga negara yang menyumbang emas ialah Mohd Ziyad Zolkifli menerusi acara lempar cakera lelaki F20 (cacat penglihatan), Nursuhana Ramlan dari acara lempar cakera wanita F20 (cacat penglihatan), E. Hemala Devi (lontar peluru F12 (cacat penglihatan) dan lempar cakera F12.

Hishan Che Soh (lontar peluru F46 (cacat anggota tangan), Faridul Masri (merejam lembing F56 kerusi roda), Dariah Paulus (merejam lembing F44 (cacat anggota).

Mohd Azlan Mat Lazim (100m lelaki T36 (ganguan pembelajaran), Mohd Hisham Khoiri (100m lelaki T12 (ganguan pembelajaran), Mohd Riduan Emeri (400m lelaki T36 (cacat anggota) dan Rafiq Nasyreen dari acara 100m lelaki kategori T20 (rabun).

Manakala skuad memamah paralimpik negara pula menyumbang dua pingat emas menerusi Noor Saadah Abdul Wahad dalam acara individu recurve lelaki berkerusi roda dan Yushazim Yahya dalam acara individu compound wanita berkerusi roda.

Dua lagi butir emas negara diperolehi dari acara renang menerusi Fraidden Dawan dalam acara 100m kuak dada kategori S10 (kecacatan anggota) dan Zul Amirul Sidi Abdullah dalam acara kuak lentang lelaki kategori S5 (cacat anggota kaki).

Pemain boling negara Ahmad Amil Usin turut menyumbang emas menerusi acara individu TB8 (kerusi roda).

Pada Ahad, tumpuan kontinjen negara tertumpu kepada acara olahraga, memanah, renang dan powerlifting. - BERNAMA

Artikel Lain