suria

Noor Saadah Menang Pingat Emas Acara Memanah

SOLO: Pemanah paralimpik negara, Noor Saadah Abdul Wahab, meraih pingat emas dalam acara memanah recurve individu wanita kategori kerusi roda pada hari kedua Temasya Sukan Para Asean 2011.

Beliau mengalahkan pemanah Indonesia, Helda Ampang Bangke dengan mata 6-2 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Sriwedari di sini Sabtu.

Pingat gangsa menjadi milik pemanah Filipina, Tina Bantiloc setelah menumpaskan pemanah Indonesia, Suharyati pada perlawanan penentuan tempat ketiga.

Noor Saadah, 34, menyifatkan kemenangannya itu sebagai pengubat luka atas kegagalannya beraksi cemerlang pada Temasya Sukan Para Asia di Gungzhou, China tahun lepas.

"Sebenarnya saya tidak meletakkan sasaran pingat emas untuk acara hari ini namun saya dikira bernasib baik dan bertuah dapat membawa balik pingat emas seterusnya melengkapkan sasaran dua pingat emas bagi skuad paralimpik memanah," katanya kepada Bernama.

Pemanah kelahiran Pulau Pinang itu berharap mampu membantu skuadnya mencari pingat emas bonus dalam acara recurve berpasukan campuran hari ini.

Turut menyumbang pingat emas hari ini ialah Yuhaizam Yahya yang beraksi dalam acara compound lelaki dengan kemenangan 96-95 mata mengatasi pemanah Indonesia, Musahari pada perlawanan akhir acara tersebut.

Pingat gangsa bagi acara tersebut menjadi milik pemanah Indonesia, Agust Ristanto setelah berjaya mengalahkan rakan senegara Sensen Gusnin 131-98 mata pada perlawanan penentuan tempat ketiga.

Sementara itu, pengurus pasukan skuad memanah paralimpik negara, Zul Eazy Abdul Manaf berkata beliau berpuas hati dengan kejayaan anak buahnya hari ini apabila berjaya mencapai sasaran yang telah diletakkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum ini.

"Saya harap kita mampu meraih pingat emas hari ini dalam acara recurve berpasukan campuran dan recurve berpasukan lelaki esok," katanya.

Artikel Lain