suria

KOM Bentuk Jawatankuasa Imej Untuk Jaga Reputasi

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOAM) akan membentuk "jawatankuasa imej" dalam usaha menjaga reputasi kesatuan itu daripada terus tercalar.

Presidennya Datuk Seri Shahidan Kassim berkata jawatankuasa itu akan menggubal garis panduan kepada anggota Majlis KOAM serta atlet olahraga yang bernaung di bawah kesatuan mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh diberitahu kepada media.

"Ini lanjutan daripada keputusan anggota majlis pada mesyuarat Exco di Kangar, Sabtu lepas. Pada mesyuarat itu, anggota majlis bersetuju hanya Presiden yang boleh bercakap mengenai hal ehwal dalam kesatuan.

"Larangan tersebut turut dikenakan terhadap Timbalan Presiden Karim Ibrahim," katanya.

Shahidan bagaimanapun berkata anggota majlis dan atlet tidak dihalang untuk bertemu media dan bercakap mengenai hal-hal seperti program latihan atau prestasi mereka.

Menjadikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai contoh, Shahidan berkata berkata KOAM mahu menjaga imej sebagaimana badan induk bola sepak negara itu.

"Sekarang, ramai memuji prestasi semasa skuad bola sepak negara dan amat jarang kedengaran polemik dalaman persatuan itu.

"KOAM juga mahu mengikut jejak FAM, mahu prestasi atlet menjadi ukuran dan bukannya hal ehwal dalaman kesatuan yang tidak sepatutnya dibawa kepada pengetahuan media," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain