suria

Perlawanan Persahabatan Malaysia -Arab Saudi Februari Ini

KUALA LUMPUR: Harimau Malaya terus menerima pelawaan untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dan yang terkini adalah menentang pasukan Arab Saudi di Melbourne, Australia pada 20 Feb depan.

Laman sesawang Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) memetik pengurus pasukan Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal sebagai berkata bahawa pelawaan itu adalah satu pengiktirafan kepada pasukan bola sepak negara yang semakin mendapat perhatian daripada pasukan berkualiti lain.

"Pasukan Arab Saudi telah membuat pelawaan ini dan mereka bersedia untuk membiayai perbelanjaan ke Melbourne," kata beliau.

Pasukan bola sepak Arab akan menentang Australia pada perlawanan akhir pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2014 pada 29 Feb.

Subahan berkata pemain Arab Saudi berharap perlawanan mereka menentang Harimau Malaya, yang dibimbing jurulatih Datuk K. Rajagobal, akan memberikan sentuhan persiapan terakhir pasukan Arab sebelum perlawanan itu.

Beliau turut mendedahkan bahawa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang dalam perbincangan untuk mengadakan perlawanan persahabatan antara Kongo, Iran dan Paraguay dengan Harimau Malaya.

Perlawanan persahabatan berkenaan merupakan sebahagian persiapan pasukan bola sepak Malaysia bagi mempertahankan Piala AFF Suzuki yang dimenangi Harimau Malaya pada kejohanan 2010.-BERNAMA

Artikel Lain