suria

Negara Perlu Lima Tahun Pulih Sepak Takraw - PSM

KUALA TERENGGANU: Negara memerlukan antara empat hingga lima tahun lagi untuk mengembalikan kecemerlangan sukan sepak takraw di persada antarabangsa.

Naib Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Mohd Shapian Ali berkata itupun sekiranya semua persatuan sepak takraw negeri bangkit dan mengadakan program pembangunan masing-masing.

"Tidak ada langsung kejohanan atau program pembangunan dibuat oleh persatuan-persatuan negeri menyebabkan sukar kita hendak mencari pemain untuk mewakili negara," katanya ketika diminta mengulas kemerosotan prestasi pasukan negara dalam kejohanan-kejohanan sepak takraw peringkat antarabangsa sejak kebelakangan ini.

Menurut Mohd Shapian, beliau yakin negara dapat melahirkan pemain-pemain baru melalui program pembangunan sekiranya persatuan-persatuan negeri bergerak aktif dan tidak berpeluk tubuh.

"Tiada langsung program dan kejohanan menyebabkan kita ditinggalkan oleh negara-negara lain dalam sukan sepaktakraw," katanya.

Beliau berkata selain itu, PSM juga perlu melihat semula keupayaan jurulatih-jurulatih yang ada memandangkan sukan itu sekarang semakin maju dan berkembang.

"PSM perlu tingkatkan ilmu pengetahuan jurulatih dengan ilmu-ilmu baru," katanya.

Mohd Shapian berkata kekecewaan pasukan sepak takraw negara di Sukan Sea Jakarta bulan lepas sepatutnya dijadikan iktibar dan pengajaran untuk Malaysia bangkit kembali dalam sukan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain