suria

TSG Sasar Kemenangan Peringkat Pada LTdL 2012

KUALA LUMPUR: Pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) merancang strategi untuk meraih kemenangan peringkat pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 dari 22 Feb hingga 4 Mac depan.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Mohd Sophian Abdu Bakar berkata kelab itu mahu memperbaiki kedudukan keseluruhan selepas Mohd Hariff Salleh dan Anuar Manan terlepas beberapa peluang kemenangan peringkat pada edisi ke-16 tahun ini.

"Sebagai persediaan, pihak pengurusan akan memberi tumpuan terhadap kecergasan pelumba sebelum menyusun perancangan terakhir pada Januari ini.

"Apa yang penting ketika ini ialah memastikan tahap kecergasan pelumba berada di tahap yang baik supaya dapat dipertingkatkan lagi beberapa minggu sebelum LTdL bermula," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya pelumba-pelumba TSG akan menjalani kem latihan pusat dan tidak menolak kemungkinan lokasi latihan sama seperti tahun ini iaitu di Chiang Mai, Thailand.

Mohd Sophian juga berkata TSG akan mengekalkan jumlah 14 pelumba dalam pasukan itu.

"Masih terlalu awal untuk menyenaraikan nama pelumba kerana pengurusan akan menandatangani kontrak baru dengan pelumba. Kami berharap dapat menarik beberapa pelumba baru tempatan dan luar untuk memantapkan pasukan ini, terutama dalam aspek pendakian yang masih menjadi kelemahan kami," katanya.

Katanya pengurusan TSG juga berharap akan dapat mengekalkan empat tenaga pelumba luar termasuk pelumba veteran Jepun, Sinichi Fukushima pada musim baru nanti.

Selain TSG, pasukan kebangsaan dan satu lagi pasukan kelab, LeTua Cycling Team (L2A) akan membawa cabaran negara pada edisi tahun depan yang melibatkan sejumlah 22 pasukan.

Edisi ke-17 LTdL tahun depan meliputi jarak kayuhan sejauh 1,410.7km.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain