suria

Myanmar Jadi Tuan Rumah Pusingan Kelayakan Piala Suzuki AFF 2012

KUALA LUMPUR: Pusingan kelayakan Piala Suzuki AFF 2012 bagi menentukan dua pasukan yang bakal menyertai enam pasukan pilihan termasuk juara bertahan Malaysia, akan diadakan di Myanmar dari 5 hinga 13 Okt tahun depan.

Menurut World Sports Group, rakan pemasaran eksklusif Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), undian bagi pusingan kelayakan membabitkan Myanmar, Brunei, Kemboja, Laos dan Timor Leste akan diadakan pada 11 Julai tahun depan.

"Dua pasukan teratas dari pusingan kelayakan akan menyertai enam pasukan pilihan ASEAN iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam untuk pusingan akhir," kata syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

Pasukan Harimau Malaya di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal menjulang Piala Suzuki AFF 2010 selepas mengalahkan Indonesia dengan agregat 4-2.

Piala Suzuki AFF 2012 akan diadakan dari 24 Nov hingga 22 Dis tahun depan.

Pada puisngan akhir, Malaysia dan Thailand dipilih sebagai tuan rumah bersama bagi perlawanan kumpulan manakala perlawanan separuh akhir dan final akan diadakan secara timbal balik.

Malaysia akan menjadi tuan rumah kejohanan itu buat kali kedua selepas edisi 2004 manakala Thailand menjadi tuan rumah pada 2000 dan menjadi tuan rumah bersama pada 2006 dan 2008.

Sementara itu, Suzuki Motor Corporation, sebuah syarikat automatif dari Jepun, telah memperbaharui tajaan utama bagi edisi 2012 iaitu untuk tiga edisi berturut-turut.

Piala Suzuki AFF merupakan acara bola sepak utama di rantau Asia Tenggara.

Sejumlah 192 juta penonton televisyen dalam pasaran utama ASEAN menyaksikan pertandingan edisi 2010 bersama hampir 80,000 penonton berkunjung ke stadium semasa tempoh pertandingan itu.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain