suria

PBSNT Minta Kerajaan Negeri Atasi MAsalah Lampu Limpah Dengan Segera

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) meminta kerajaan negeri supaya mengambil tindakan segera meningkatkan pencahayaan lampu limpah mengikut piawaian di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini.

Presidennya Datuk Che Mat Jusoh berkata langkah segera perlu dilakukan bagi mengatasi masalah itu berikutan negeri itu akan menjadi tuan rumah pertandingan pusingan kelayakan Piala AFC 2012 tahun depan.

Mengikut syarat Konfederasi Bola Sepak (AFC), katanya, stadium itu memerlukan pencahayaan lampu limpah sekurang-kurangnya 1,200 lux manakala ketika ini ianya di bawah 800 lux.

Pertandingan Piala AFC 2012 peringkat kumpulan F melibatkan pasukan Terengganu, selaku juara Piala FA 2011, juara liga divisyen satu Hong Kong, Kitchee, Song Lam Nghe An (Vietnam) dan kelab Singapura, Tampines Rovers.

Che Mat berkata, sebagai pertama kali pertandingan peringkat Asia berlangsung di Terengganu, imej negeri akan tercalar sekiranya pencahayaan lampu limpah tidak menepati standard minimum yang ditetapkan.

Sebelum ini, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berkata pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya RM3 juta untuk menaiktaraf pencahayaan lampu limpah di stadium berkenaan.

Che Mat berkata tindakan segera perlu diambil memandangkan masa kejohanan itu semakin suntuk iaitu Mac tahun depan.

Pada Selasa lalu, wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah membuat pemeriksaan di stadium berkenaan dan mendapati tahap pencahayaan lampu limpahnya tidak menepati syarat untuk mengadakan perlawanan pada waktu malam.

Berikutan itu, FAM memberi tempoh sehingga 21 Disember ini kepada Terengganu untuk meningkatkan pencahayaan lampu limpah jika ingin mengadakan perlawanan Liga Malaysia 2012 pada waktu malam.-BERNAMA

Artikel Lain