suria

Liga Futsal K'saan Boleh Jadi Liga Berprestij

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bercadang untuk menjadikan Kejohanan Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM sebagai liga tempatan yang berprestij satu hari nanti.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Futsal Dan Bola Sepak Pantai FAM, Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalid berkata, usaha untuk menambah baik liga tersebut akan dilakukan secara berperingkat mulai tahun depan sehingga mendapat pengiktirafan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

"Mulai tahun depan kita akan mulakan format perlawanan baru mengikut garis panduan yang telah ditetapkan AFC bagi membuka peluang pemain dan pasukan Liga Futsal Kebangsaan beraksi di Kejohanan Futsal AFC," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran dan undian Kejohanan Liga Futsal Kebangsaan Felda/ FAM di sini pada Selasa.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Gan Ping Shou.

Hamdan berkata usaha tersebut adalah bagi menarik minat lebih ramai pemain muda berbakat untuk menyertai liga tersebut pada masa akan datang.

Sementara itu, Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab berkata matlamat penganjuran liga berkenaan yang akan bermula 17 Dis ini adalah untuk melahirkan lebih ramai bakat-bakat baru memberi sumbangan kepada skuad Futsal kebangsaan.

"Ini adalah merupakan sebahagian daripada sumbangan Felda kepada pembangunan Sukan Negara dan diharap program tersebut akan memberi manfaat kepada semua masyarakat di negara ini," katanya.

Dzulkifli berharap liga itu mampu dijadikan platform untuk pembangunan sukan tersebut di negara ini.

Liga edisi kelima ini berjaya menarik 32 pasukan, 16 pasukan lelaki dan 16 pasukan wanita. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Bundesliga

Artikel Lain