suria

Kolo Toure Mungkin Ikut Jejak Tevez Tinggalkan City Januari Ini

MANCHESTER: Masalah Manchester City dengan para pemain mereka nampaknya tidak pernah habis dan terkini Kolo Touré menyerang pengurusan kelab itu dengan berkata bahawa pemain-pemain Afrika telah menjadi mangsa diskriminasi dalam Liga Perdana Inggeris.

Dan yang lebih memburukkan keadaan ialah apabila Toure berkata dia kehilangan tempat dalam kesebelasan utama skuad Roberto Mancini hanya kerana kelab itu tidak senang hati dengan keputusannya untuk bermain di peringkat antarabangsa bersama pasukan kebangsaannya.

Toure yang bermain untuk Ivory Coast telah dilucutkan statusnya sebagai kapten pasukan pada musim lalu.

Dia turut mengkritik keputusan Mancini untuk memilih Stefan Savic, pemain berusia 20 tahun yang baru dibeli dari Partizan Belgrade dengan harga £6 juta untuk mengambil alih posisinya di barisan tengah pertahanan.

"Jika anda lihat prestasi Savic dalam perlawanan pembukaannya menentang QPR – saya boleh katakan saya lebih relaks," ujarnya.

Bagaimanapun, kritikan yang paling pedas dibuat mengenai persiapan dan akibat yang bakal ditanggung oleh pemain-pemain Afrika menjelang Kejohanan Piala Afrika bulan depan.

Touré mendakwa, pemain-pemain Afrika yang akan mewakili negara mereka bakal menjadi mangsa diskriminasi kerana kelab-kelab Liga Perdana tidak begitu gembira mereka akan kehilangan pemain sehingga sebulan kerana kejohanan itu.

"Hari ini untuk bermain mewakili negara pada Kejohanan Afrika merupakan satu malapetaka.

"Jurulatih tidak mahu lagi membeli pemain-pemain Afrika kerana masalah ini. Saya berkeyakinan penuh jika saya tidak bermain untuk Manchester City, ia bukan sahaja kerana sebab-sebab bolasepak kerana jika ia berkaitan tentang itu, saya akan bermain setiap minggu. Tetapi saya menjadi mangsa keadaan dan perkara ini perlu disebut secara umum," ujarnya lagi.

Toure memberi contoh mengenai kejohanan sebelum ini yang berlangsung di Angola.

Beliau percaya Manchester City tidak akan memaafkannya kerana terpaksa kehilangannya selama sebulan.

"Malah mereka mahu saya kembali segera ke kelab sehinggakan mereka menempah sebuah pesawat khas bagi membolehkan saya dapat kembali untuk perlawanan menentang Manchester United dalam separuh akhir Piala Carling.

"Malangnya saya tidak dapat kembali tepat pada masanya dan City tewas. Saya percaya City tidak dapat melupakan insiden itu dan kini saya terpaksa membayar harga yang tinggi dengan diketepikan oleh pengurus dan kelab saya," jelas Toure.

Kejohanan Piala Afrika akan berlangsung di Guinea dan Gabon dari 21 Januari hingga 12 Februari 2012 dan Touré berhujah banyak kelab yang sudah pun memperlihatkan rasa tidak senang kerana terpaksa kehilangan ramai pemain untuk tempoh berkenaan.

Untuk mengkusutkan lagi keadaan, Toure telah kehilangan tempatnya dalam barisan kesebelasan utama selepas diharamkan bermain selama enam bulan kerana didapati positif mengambil bahan yang tidak dibenarkan.

Sejak itu tempatnya telah diambil oleh Joleon Lescott yang bergandingkan dengan kapten baru kelab, Vincent Kompany di barisan tengah pertahanan.

Kini sepertimana Carlos Tevez, Toure juga berkemungkinan akan dijual menjelang Januari apabila pintu perpindahan dibuka semula.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Bundesliga

Artikel Lain