suria

TSM Charity Golf Sumbang RM35,000 Kepada Tujuh Bekas Atlet Negara

SHAH ALAM: Tan Sri Muhyiddin (TSM) Charity Golf pada Ahad menyampaikan sumbangan berjumlah RM35,000 kepada tujuh bekas atlet negara yang berjasa kepada industri sukan tanah air.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan sumbangan itu pada hari terakhir Cabaran Golf TSM edisi keenam, yang berlangsung selama tiga hari di Glenmarie Gold and Country Club di sini.

Beliau menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada setiap bekas pemain bola sepak negara Yahaya Jusoh, 59, Loi Loon Teik, 66, Muhammad Asyraf Anbalagan Abdullah, 44, dan Baharin Khamis, 62.

Muhyiddin yang juga pengasas TSM Charity Golf turut menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada setiap bekas atlet angkat berat negara Samah Ali, 57, dan Rameli Manaf, 54, serta bekas atlet olahraga S.Karunanithi, 44.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada Tabung Bencana Banjir Islamic Aid Malaysia (IAM)-Utusan bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.

Seramai 75 peserta mengambil bahagian pada kejohanan anjuran TSM Charity Golf dengan 30 pemain bertanding untuk kategori lelaki di bawah 21 tahun, 26 pemain untuk kategori wanita di bawah 21 tahun manakala selebihnya bertanding untuk kategori bawah 15 tahun.

TSM Charity Golf ialah pertubuhan bukan untuk mencari keuntungan yang ditubuhkan pada 2003 yang bertujuan menjalankan kegiatan amal menerusi kejohanan golf dan membangunkan bakat pemain muda golf tempatan untuk menjadi pemain bertaraf dunia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain