suria

Terengganu Hantar 16 Pelumba Ke GP Kebangsaan Final

KUALA TERENGGANU: Persatuan Lumba Basikal Negeri Terengganu (PLBNT) akan menyenaraikan 16 pelumba untuk mewakili negeri ke kejohanan GP Kebangsaan Final di Muar, Johor pada 31 Disember ini.

Jurulatihnya Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata pelumba-pelumba itu terdiri daripada enam pelumba wanita, empat pelumba lelaki dan enam pelumba kategori junior.

"Pelumba-pelumba itu akan bertolak ke Muar dari sini pada 27 Disember ini dengan berkayuh basikal pergi dan balik sejauh kira-kira 800 kilometer," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Beliau berkata langkah pelumba-pelumba itu mengayuh basikal pergi dan balik ke Muar itu adalah sebagai satu latihan dan persediaan untuk menghadapi kejohanan itu.

Menurut Syed Mohd Hussaini penyertaan pelumba-pelumba Terengganu di kejohanan GP Kebangsaan itu bukan untuk mencari kemenangan semata-mata, tetapi juga sebagai program latihan untuk Sukma 2012.

"Kami akan cari dimana kelemahannya kerana banyak pasukan yang akan memberi saingan kepada Terengganu di sukan dwi-tahunan itu nanti, terutamnya pasukan tuan rumah, Pahang," katanya.

Selain Pahang, beliau berkata negeri-negeri lain yang sedang meningkat dan menjadi cabaran kepada Terengganu ialah Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Johor dan Perlis.

Syed Mohd Hussaini berkata muka lama yang akan membawa cabaran Terengganu tahun depan ialah Adiq Husaini, Sofian Nabil Omar, Khairul Azizi, Mohd Zulhimi Hafiz, Nor Amirul Fakaruddin Marzuki dan Mohd Fahmi Irfan Zailani.

Beliau berkata Terengganu dijangka menghantar 12 pelumba lelaki dan 12 pelumba wanita untuk menyertai kejohanan lumba basikal Sukma nanti. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain