suria

Pengurus Baru Sunderland Dijanji Dana Baru Menjelang Januari

Martin O'Neill dilantik sebagai pengurus baru Sunderland menggantikan Steve Bruce.
Martin O'Neill dilantik sebagai pengurus baru Sunderland menggantikan Steve Bruce.
Martin O'Neill dilantik sebagai pengurus baru Sunderland menggantikan Steve Bruce.

MARTIN O'Neill yang dilantik sebagai pengurus kelab Sunderland yang baru Sabtu lalu bagi mengantikan Steve Bruce telah dijanjikan dengan dana yang mencukupi untuk memperkukuhkan skuad mereka menjelang Januari nanti.

Berita mengembirakan ini telah diumumkan oleh pemilik dan pengerusi Sunderland, Ellis Short, yang merupakan seorang jutawan dari Amerika Syarikat.

Menjelang Januari pintu perpindahan akan dibuka semula selama sebulan untuk membolehkan kelab-kelab seluruh Eropah memperkukuhkan skuad masing-masing terutamanya mencari pengganti kepada pemain yang cedera.

Pengurus berbangsa Irish itu akan diperkenalkan kepada para penyokong kelab tersebut pada Selasa di Stadium of Light.

O'Neill telah menandatangani kontrak selama tiga tahun dipercayai bernilai £6 juta.

Beliau turut hadir menyaksikan Sunderland ditewaskan oleh Wolves iaitu kekalahan yang kelapan dalam 15 perlawanan pada musim ini.

Ini meletakkan Sunderland berada hanya satu mata di atas zon penyingkiran. Ahad depan mereka akan bertemu Blackburn.

Perlawanan itu akan menjadi yang pertama di bawah pengurusan O'Neill dan sudah pastinya beliau berada dalam keadaan yang terdesak untuk memperbaiki keadaan yang semakin sukar buat The Black Cats.

Pengurus berusia 59 tahun itu kali terakhir menguruskan sebuah kelab ialah setahun yang lalu bersama Aston Villa.

Beliau meninggalkan Villa selepas berselisih faham dengan pemilik kelab berkenaan yang juga seorang rakyat Amerika.

Sebelum menyertai Villa pada tahun 2006, O'Neill, pernah mengemudi skuad Leicester dan Celtic.

Kini berada paling atas dalam senarai keutamaan O'Neill ialah mencari penyerang yang mampu mengubah keadaan dan nasib Sunderland dan pada masa yang sama cuba memperkukuhkan barisan pertahanannya yang rapuh.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain