suria

Norizman Ungguli Kejuaraan Cub Prix Malaysia Edisi 2011

GEORGE TOWN: Beraksi dengan jentera baru musim ini ternyata membawa tuah buat Norizman Ismail apabila menjuarai Kejohanan Cub Prix Malaysia Petronas AMM 2011 kelas CP130 selepas pusingan akhir di Padang Kota Lama di sini Ahad.

Pelumba Harian Metro TEQ SCK Honda Racing itu berjaya tempat ketiga dengan catatan masa 12:02.099s untuk mengumpul 129 mata keseluruhan musim ini.

Rakan sepasukan Md Affendi Rosli yang cuba memberikan saingan terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan pungutan 111 mata manakala tempat ketiga milik Abdul Muhaimin Roslan pelumba dari pasukan Yamaha Maju Motor Racing dengan 108 mata.

Terdahulu itu, pada perlumbaan akhir, kelas CP130 dimenangi pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha Raceline, Hafizh Syahrin Abdullah manakala naib juara milik Muhaimin.

"Pada tahun ini saya menggunakan motosikal baru. Keadaan jentera saya begitu baik sejak hari pertama lagi dan tidak ada banyak perubahan yang dilakukan bagi menghadapi perlumbaan akhir," kata Norizman selepas perlumbaan itu.

Sementara itu, juara keseluruhan bagi kelas CP115 disandang oleh pelumba pasukan Petronas Syntium Moto Yamaha AHM, Shahril Izzuan Md Noor yang berjaya memungut 141 mata.

Tempat kedua dimenangi oleh Zaidy Md Zaifaizal dari pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing dengan pungutan 120 mata manakala Md Emir Firdaus menduduki tempat ketiga dengan 98 mata.

Bagi perlumbaan pusingan akhir kelas CP115 dimenangi oleh Ahmad Afif Amran dari pasukan Yamaha CKJ Sukimi dengan catatan masa 9:43.568s.

Kemenangan pertama buat pelumba berumur 16 tahun itu ternyata tidak mudah dicapai apabila dia terpaksa bersaing hebat dengan Mohd Farid Ahmad dari pasukan Global Bike Rock Oil Racing yang mendapat tempat kedua dengan perbezaan masa hanya 0.081s.

Manakala tempat ketiga menjadi milik pelumba pasukan M-Seki Liberty Honda Racing, Sasitharen Sukumaran dengan mencatat masa 9:44.424s.

Dalam acara kelas Wira, Zulsyafiz Rosli dari pasukan MOS Malaysia Racing bergelar juara keseluruhan setelah mencatat kemenangan dalam pusingan kedua, kelima, dan ketujuh kejohanan dengan memiliki 159 mata. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain