suria

PM Akan Raikan Juara Skuasi Dunia Nicol David Isnin Ini

KUALA LUMPUR: Pemegang rekod skuasi dunia Nicol David yang menjuarai kejohanan dunia sebanyak enam kali akan diraikan sebagai wira negara dalam satu majlis bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana, Putrajaya Isnin ini.

Nicol menjadi pemain skuasi wanita dunia yang pertama memenangi kejuaraan dunia sebanyak enam kali sejak ia pertama kali diperkenalkan pada tahun 1976.

Beliau pertama kali memenangi kejuaraan dunia ini pada tahun 2005 di Hong Kong dan selepas itu diikuti pada 2006 (Belfast), 2008 (Manchester), 2009 (Amsterdam), 2010 (Kaherah) dan tahun ini di Rotterdam pada 6 November lalu.

Nicol, 28, juga telah memenangi 56 kejuaraan Wispa (Persatuan Pemain-pemain Skuasi Wanita Dunia) sejak menjadi pemain profesional pada tahun 2000.

Bulan lalu beliau memenangi kejuaraan terbuka Hong Kong yang ketujuh berturut-turut.

Semalam ketika tiba di KLIA dari Amsterdam di mana beliau bermastautin sepanjang kejohanan tahun ini, Nicol telah disambut oleh 130 orang pemain junior.

Nicol yang pulang ke tanahair untuk menyambut Hari Natal bersama-sama keluarganya di Pulau Pinang bulan ini akan berehat selama 10 hari sebelum memulakan latihan semula.

Bekas pemain nombor satu dunia, Vicki Cardwell akan berada di Pulau Pinang bermula pertengahan bulan ini untuk berlatih bersama Nicol.

Bermula 4 Januari depan, Nicol akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Akhir Siri Dunia yang menghimpunkan lapan pemain terbaik dunia.

Ia adalah kejohanan yang pertama kali diperkenalkan oleh Wispa.

Tahun depan Nicol berkata beliau akan memberikan tumpuan kepada empat kejohanan besar iaitu Terbuka Australia, Terbuka Amerika, Terbuka British dan Kejohanan Terbuka Dunia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain