suria

PSM Minta KBS Timbang Semula Langkah Kurangkan Salur Bantuan Kewangan

KUALA LUMPUR: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM)menggesa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) supaya menimbang semula keputusan untuk mengurangkan saluran kewangan (geran tahunan) kepada persatuan sukan itu ekoran daripada aksi hambar skuad sepak takraw di Temasya Sukan SEA 2011 yang berlangsung di Palembang, Indonesia baru-baru ini.

Presidennya Ahmad Ismail berkata PSM bergantung sepenuhnya kepada geran tahunan daripada KBS yang disalur menerusi Majlis Sukan Negara untuk menampung kos semua program tahunan dan kos operasi persatuan.

"Sekiranya KBS mengurangkan jumlah geran tahunan kita juga terpaksa mengurangkan program tahunan yang sedia ada bagi tahun 2012 kerana PSM tidak mempunyai dana kewangan besar seperti persatuan sukan porpular lain," katanya, Khamis.

Katanya beliau berharap Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengkaji semula perkara itu sebelum mengambil tindakan memandangkan sukan sepak takraw adalah antara sukan tradisi Melayu yang mempunyai bilangan peminat yang ramai dalam negara.

"Adalah tidak adil jika peminat sepak takraw dihukum kerana kesilapan PSM dan skuad negara," katanya.

Ahmad Ismail berkata adalah tidak adil juga sekirantya tugas memajukan sukan itu hanya diletakan ke bahu PSM semata-mata kerana ianya bukan satu tugas yang mudah.

"KBS dan MSN perlu bantu kami dalam perkara ini dan saya sedia menerima sebarang cadangan daripada semua pihak termasuk orang ramai dalam usaha membangunkan sukan sepak takraw negara," katanya.

Ahmad Shabery sebelum ini dilaporkan berkata KBS akan bertindak memotong peruntukan tahunan PSM dan persatuan sukan lain yang gagal menyerlah pada Sukan SEA Indonesia baru-baru ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain