suria

Maybank Terbuka M'sia 2012 Akan Disertai Pemain-Pemain Terkemuka Dunia

KUALA LUMPUR: Pemain badminton terkemuka dunia termasuk dari China dijangka mengambil bahagian dalam kejohanan badminton Maybank Terbuka Malaysia 2012 yang dibawa oleh Proton di Stadium Putra, Bukit Jalil mulai 10-15 Januari.

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Mohamed Al-Amin Abdul Majid berkata, penganjur masih menunggu pengesahan para pemain menyertai kejohanan itu yang merupakan sebahagian daripada super siri Persekutuan Badminton Dunia.

"Biasanya pemain terkemuka seperti dari China akan turun menyertai kejohanan seperti ini kerana mereka mahu memastikan kebanyakan pemain mereka layak bagi Sukan Olimpik tahun depan.

"Bagaimanapun, kita perlu menunggu kerana tarikh akhir kejohanan ini ialah awal bulan depan," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan logo baru kejohanan di Menara Maybank di sini, Rabu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maybank Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Ketua Pegawai Pemasarannya Adam Wee Abdullah, Setiausaha Kehormat Bam Ng Chin Chai dan pengurus besarnya Kenny Goh.

Kejohanan yang diberi nama baru itu merupakan perkongsian enam tahun antara Maybank dan BAM yang ditandatangani Ogos lepas.

Kejohanan yang menawarkan hadiah WANG TUNAI AS$400,000 (RM1.269 juta) itu ditaja oleh Maybank dan Proton tahun ini sebagai sebahagian daripada pemindahan tajaan rasmi daripada Proton kepada Maybank.

Barisan pemain bagi kejohanan itu akan disahkan pada 8 Disember manakala pengundian akan diadakan pada 27 Disember.

Sementara itu, Mohd Adam Wee berkata tajaan kejohanan itu adalah bagi melengkapkan agenda tajaan sukan selain mempromosikan jenama mereka dalam kegiatan sukan tempatan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain