suria

T-Team Ambil Bekas Pemain Import Perlis

KUALA TERENGGANU: Bekas pemain import Perlis yang berasal dari Zambia, Zacharia Simikounda akan menyertai pasukan T-Team bagi menghadapi Liga Malaysia tahun depan.

Jurulatih Yunus Alif berkata pemain penyerang berumur 28 tahun itu mewakili Perlis pada tahun 2007.

"Zacharia telah melepasi ujian dan dia memenuhi kriteria yang kita tetapkan. Seorang lagi pemain import akan diuji minggu depan," katanya.

Beliau berkata Zacharia mewakili kelab Red Arrows, Zambia pada 2011 selepas bermain dengan kelab Al-Faizaly dalam liga Jordan pada 2009 hingga 2010.

Yunus berkata beliau yakin Zacharia mampu menjulang nama T-Team memandangkan pengalamannya bermain dalam Liga Malaysia sebelum ini.

Sementara itu, T-Team akan mengambil sembilan pemain baru bagi menggantikan pemainnya yang berhijrah ke pasukan lain musim 2012 seperti Indra Putera Mahayuddin, Mohd Nor Farhan Mohamad dan Azizi Matt Rose yang berhijrah ke Kelantan.

Sembilan pemain baru itu ialah masing-masing tiga dari Selangor, Perlis dan Terengganu.

Yunus berkata T-Team akan menggadakan perlawanan persahabatan di Selangor bulan depan bagi menguji keserasian pemain.-BERNAMA

Artikel Lain