suria

Harapan Malaysia Semakin Pudar Selepas Kalah 2-3 Kepada Bahrain

KUALA LUMPUR: Harapan Malaysia untuk beraksi pada Sukan Olimpik 2012 semakin pudar apabila tumpas 2-3 kepada Bahrain pada perlawanan ketiga pusingan ketiga kelayakan Kumpulan C di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini, malam Ahad.

Bahrain hanya mengambil masa lima minit pada babak kedua untuk mencapai kemenangan pertama menerusi jaringan Saad Salah Al Amer pada minit ke-80 dan dua gol oleh Isa Ahmed Muthanna pada minit ke-85 dan 86.

Skuad Harimau Muda bermula garang dan penuh keyakinan apabila Muhd Nazmi Faiz Mansor membuka tirai jaringan pada minit ke-29 untuk mendahului 1-0 pada babak pertama.

Berbekalkan sokongan lebih 30,000 penyokong, Malaysia turun ke gelanggang pada babak kedua dengan lebih bersemangat untuk memperkukuhkan kedudukan menerusi jaringan Mahalli Jasuli pada minit ke-67.

Bagaimanapun, kealpaan benteng pertahanan negara membawa padah apabila Bahrain mula mengatur gerakan pantas dan teratur untuk merapatkan jurang jaringan menerusi Saad Salah.

Jaringan tersebut telah menaikkan semangat pasukan 'The Red' untuk memburu gol sebelum Isa Ahmed menyamakan kedudukan pada minit ke-85 sebelum menyumbat gol kemenangan seminit kemudian.

Pada Rabu lepas, Malaysia tumpas 0-2 kepada Syria pada perlawanan kedua di venue yang sama.

Malaysia dijadualkan menentang Bahrain pada perlawanan timbal balik 5 Feb depan sebelum menerima kunjungan Jepun pada 22 Feb depan dan menutup aksi kumpulan dengan menentang Syria pada 14 Mac depan.

Dalam pada itu, jurulatih negara Ong Kim Swee berkata kehilangan pemain tengah Muhammad Nazmi Faiz Mansor dan penyerang Wan Zack Haikal Wan Mohd Noor pada babak kedua menjadi punca kekalahan pasukan negara.

Katanya beliau tidak mempunyai banyak pilihan selain memasukkan Abdul Shukor Jusoh dan Syahrul Azwari Ibrahim bagi menggantikan kedua-dua pemain tersebut.

"Saya tidak tahu dalam masa lima minit segalanya berubah akibat kehilangan di bahagian tengah selepas Nazmi terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Dalam pada itu, jurulatih Bahrain, Salman Shareeda berkata Malaysia terlalu yakin untuk mencapai kemenangan selepas mendahului 2-0.

"Ini merupakan masalah pasukan Malaysia dan bagi diri saya, permainan ditentukan dalam masa 90 minit dan apa juga boleh berlaku sehingga saat-saat akhir," jelasnya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Vettel Atasi Rekod Mansell

Artikel Lain