suria

MYA Jalin Kerjasama Dengan T-Best

KUALA TERENGGANU: Sukan pelayaran bakal mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya, Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) bekerjasama dengan T-Best Events Sdn Berhad (T-Best) bagi menganjurkan Sirkit Match Racing Malaysia.

Kerjasama itu merupakan usaha bagi melahirkan lebih ramai pelayar terbaik negara.

Kerjasama itu dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Pengerusi T-Best Tan Sri Sabbaruddin Chik dan Presiden MYA, Kamaruzzaman Abu Kassim.

Ia turut disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Sirkit yang bakal dianjurkan pada Februari tahun depan itu akan melibatkan empat lokasi iaitu perairan Lumut, Klang, Langkawi dan berakhir di Pulau Duyong, Ahad.

Ahmad berkata melalui penganjuran seumpama ini ia mampu memberi peluang kepada bakat-bakat muda untuk melatih serta menguji kemampuan mereka.

Katanya, kerajaan negeri menyambut baik penganjuran berkenaan dan menyokong sepenuhnya jika lebih banyak acara seumpamanya diadakan pada masa akan datang.

Beliau berkata Terengganu mempunyai kemudahan lengkap untuk menganjurkan sukan kapal layar dan pemilihan Terengganu sebagai lokasi kemuncak kejohanan seumpama ini amat bertepatan.

Sementara itu, Kamaruzzaman berkata, pihaknya berbesar hati menjalinkan kerjasama dengan T-Best untuk menganjurkan sirkit itu dan penganjuran Sirkit Match Racing Malaysia telah mendapat pengiktirafan daripada Siri Jelajah Dunia (WMRT).

"Peluang pelayar-pelayar negara untuk beraksi di peringkat lebih jauh sangat cerah dengan penganjuran seperti ini kerana mereka boleh mengilap bakat dan kemampuan yang mereka ada," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Vettel Atasi Rekod Mansell

Artikel Berikut

Artikel Lain