suria

Promax X-Dot Tidak Letak Sasaran Tinggi Di Pulau Pinang

HONDA Promax X-Dot Racing tidak memberi sebarang tekanan kepada pelumba-pelumba muda mereka dalam kategori Wira Bawah-17 pada pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang bakal berlangsung di Penang Esplanade, 3 dan 4 Disember ini.

Pengurus pasukan, Erwan Ahmad cuma mahukan Mohd Solehin Mohd Sukor, Mohd Emir Fareez Hasan dan Mohd Hafiz Nor Azman tenang dan menikmati perlumbaan terakhir buat musim ini memandangkan sudah terlambat bagi mereka melakukan sebarang percubaan drastik.

Tambahan pula gelaran Wira telahpun menjadi milik Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racing) ketika perlumbaan di Sepang (Pusingan 9) dan jurang mata agak besar di antara mereka dan untuk lima pelumba teratas di dalam carta keseluruhan setakat ini.

Pada peringkat awal musim, Solehin dan Fareez menunjukkan prestasi baik buat pasukan yang berpengkalan di utara tanah air itu.

Walaupun pasukan masih bergelut dalam usaha mendapatkan rentak, Solehin berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di Alor Setar (Pusingan 6) manakala Fareez menaiki podium di tempat kedua ketika di Terengganu (Pusingan 3) dan Putrajaya (Pusingan 4).

Namun begitu, sebaik memasuki separuh musim kedua, kedua pelumba ini gagal untuk mengekalkan prestasi konsisten.

Mereka sering diklasifikasi sebagai tidak layak ke perlumbaan akhir (DNQ) selain turut gagal menamatkan perlumbaan (DNF) di beberapa pusingan.

Erwan menjelaskan prestasi merundum mereka bukan disebabkan masalah enjin sebaliknya nasib mereka tidak begitu baik.

“Prestasi enjin jentera Honda kami masih kompetitif dan konsisten. Cuma nasib tidak begitu menyebelahi kami sejak akhir-akhir ini namun ia merupakan senario biasa dalam perlumbaan.

"Pasukan dan juga pelumba melakukan persediaan secukupnya namun jika nasib tidak menyebelahi, tidak ada apa yang boleh dilakukan. Mudah-mudahan nasib malang kami akan berakhir di Pulau Pinang nanti,” katanya.

Setakat ini, Solehin dan Fareez kini berkongsi 46 mata untuk menduduki tempat ke-11 dan ke-12 manakala Azman yang mula menyertai mereka ketika di Sepang selepas pembubaran pasukan Ride it Right Racing berada di kedudukan ke-15 dengan 26 mata.

Artikel Sebelum

Artikel Lain