suria

Apek Ingatkan Rakan Lupakan Seketika Kejayaan Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Kapten Skuad Olimpik Negara Khairul Fahmi Che Mat meminta rakan sepasukannya melupakan seketika kejayaan meraih ibu pingat Sukan SEA Indonesia 2011 Isnin, sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada kelayakan Olimpik London 2012 menentang Syria di Stadium Nasional, Bukit Jalil Rabu.

Khairul Fahmi, atau lebih mesra dengan panggilan Apek, yang menggalas tugas sebagai penjaga gawang negara, berkata beliau dan rakan sepasukan belum berpuas hati dengan kejayaan memenangi pingat emas di kejohanan dwitahunan itu dan ingin mengejar impaian lebih besar iaitu mara ke temasya Sukan Olimpik London 2012.

Beliau berkata meraikan kejayaan meraih pingat emas semalam bukan satu perkara besar kerana mereka masih mempunyai banyak masa lagi selepas ini.

"Walaupun penat dengan jadual perlawanan yang padat, ia bukan alasan bagi kami semua untuk tidak berusaha bersungguh-sungguh mencari kemenangan pada perlawanan menentang Syria esok," katanya kepada pemberita selepas menjalani sesi latihan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil Selasa.

Dalam perlawanan yang mendebarkan semalam, Malaysia berjaya meraih pingat emas setelah menewaskan Indonesia 4-3 menerusi sepakan penalti, selepas terikat 1-1 pada perlawanan penentuan bagi acara bola sepak Sukan SEA Indonesia 2011.

Sementara itu, penyerang skuad Olimpik negara Wan Zack Haikal, yang tidak dapat beraksi kerana direhatkan akibat kecederaan pada bahagian buku lali, bertekad untuk membuktikan sesuatu pada perlawanan menentang Syria.

"Jika diturunkan menentang Syria, ia serba sedikit dapat mengubati kekecewaan saya tidak dapat beraksi bersama rakan lain di Sukan SEA 2011.

"Peranan saya adalah untuk mengkucar-kacirkan pertahanan pihak lawan dan saya berazam untuk bermain bersungguh-sungguh," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

The Blues Semakin Goyang

Artikel Berikut

Artikel Lain