suria

Sukan Sea: PSM Akur Dengan Prestasi Terburuk Skuad Takraw

KUALA LUMPUR: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) akur dengan keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang berhasrat memotong bantuan kewangan kepada persatuan itu mulai tahun depan.

Presidennya Datuk Ahmad Ismail berkata pihaknya tidak akan menyalahkan pihak lain berhubung perkara itu.

Media telah melaporkan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengumumkan untuk memotong bantuan kewangan kepada PSM dan persatuan lain yang gagal menunjukkan prestasi cemerlang yang diharapkan pada kejohanan Sukan SEA yang sedang berlangsung di Indonesia.

"Saya akui persembahan skuad sepak takraw negara di Palembang adalah yang terburuk sehingga gagal meraih sebarang emas," kata Ahmad.

Beliau berkata banyak usaha dan latihan telah dibuat untuk memajukan pemain, namun segalanya bertukar hampa apabila mereka tewas kepada Indonesia 0-3 dan hanya membawa pulang pingat gangsa.

"Apa yang saya lihat, skuad sepak takraw tidak menggunakan senjata mereka ketika bertarung dengan pasukan tuan rumah, sebaliknya hanya bermain dalam zon selesa.

"Mungkin pemain kita kurang berusaha namun kita tidak menyalahkan pemain sepenuhnya dalam perkara ini kerana setiap persatuan sukan punyai kelemahan masing-masing," katanya.

Ahmad berkata PSM akan bertemu Ahmad Shabey Cheek bagi membincangkan isu pemotongan peruntukan tersebut.-BERNAMA

Artikel Berikut

Emas Ke-50 Milik Malaysia

Artikel Lain