suria

KOAM Jelaskan Isu Mengenai Kuartet 4X400 Meter Selepas Sukan Sea

KANGAR: Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) akan menjawab dan menjelaskan segala persoalan berkaitan kontroversi yang membabitkan kuartet 4X400 meter lelaki pada Sukan SEA di Indonesia selepas berakhirnya sukan itu, kata presidennya Datuk Seri Shahidan Kassim, Isnin.

"Saya tak dapat menjawab hari ini. Jangan hanya salahkan KOAM dengan kontroversi ini," katanya.

Pasukan 4X400 meter S. Kannathasan, P. Yuvaraaj, Schezuan Ahmad Rosely dan Mohd Yunus Lasaleh yang meraih emas terlepas peluang menerima pingat masing-masing kerana pulang ke tanah air dengan penerbangan yang dijadual lebih awal.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, ketika mengulas perkara itu baru-baru ini berkata KOAM harus memberi penjelasan kejadian itu kepada orang ramai.

Shahidan, yang ditemui di sini hari ini berkata, beliau akan menjawab perkara itu di Kuala Lumpur dan berharap dengan penjelasan itu, tiada pihak akan menuding jari kepada KOAM.

Katanya tumpuan KOAM bukan sekadar untuk melihat pencapaian terbaik pada Sukan SEA tetapi juga untuk membawa cabaran pada Sukan Olimpik.

Sukan SEA ke-26 itu yang bermula 11 Nov lalu akan berakhir Selasa.BERNAMA

Artikel Berikut

Emas Ke-50 Milik Malaysia

Artikel Lain