suria

Misi Hidup Mati Harimau Muda Sebelum Ke Final

Kim Swee (tengah) yakin dengan aksi anak buahnya menjelang perlawanan separuh akhir bertemu Myanmar, Sabtu.Foto: S.S.KANESAN/The Star
Kim Swee (tengah) yakin dengan aksi anak buahnya menjelang perlawanan separuh akhir bertemu Myanmar, Sabtu.Foto: S.S.KANESAN/The Star
Kim Swee (tengah) yakin dengan aksi anak buahnya menjelang perlawanan separuh akhir bertemu Myanmar, Sabtu.Foto: S.S.KANESAN/The Star

SKUAD Harimau Muda telah membuktikan ketahanan mental menjadi senjata utama kejayaan dalam mengharungi saingan Sukan Sea Ke-26 di Indonesia, lebih-lebih selepas menewaskan tuan rumah 1-0 pada aksi peringkat Kumpulan A, Khamis lalu.

Kemenangan itu sekali gus menjadikan skuad kendalian Ong Kim Swee ini berada di kedudukan teratas kumpulan dengan sepuluh mata, manakala pasukan Indonesia naib juara kumpulan dengan sembilan mata.

Sepanjang tiga perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini, aksi bertemu Indonesia dianggap paling mencabar, kerana bukan sahaja rekod kemenangan pasukan tuan rumah, malah perang psikologi yang dilemparkan oleh penyokong-penyokong Garuda yang begitu jelas ingin melihat pasukan Malaysia tewas.

Pada aksi peringkat kumpulan, Malaysia memulakan aksi hambar menentang Singapura dengan berkesudahan seri 0-0, bertemu Thailand 2-1, menang ke atas Kemboja 4-1 dan tundukan tuan rumah 1-0.

Kemenangan tipis pasukan negara menjadi azimat untuk mara ke pusingan separuh akhir menentang naib juara Kumpulan B, Myanmar pada hari ini, jam 5 petang.

Aksi ini juga dianggap misi hidup mati skuad negara kerana ia bakal membawa pasukan ke pusingan akhir nanti. Dengan itu tidak ada alasan untuk kalah sekiranya ingin mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada Sukan Sea di Laos 2009.

Kim Swee sendiri sudah pastinya bersiap sedia menyediakan ramuan terbaik untuk melangkah kaki ke final.

Bagi pihak pemain-pemain, sudah tentu pengalaman berlatih di Slovakia ataupun perlawanan persahabatan antarabangsa mampu membantu skuad Harimau Muda ini mengendalikan saat-saat sukar ketika beraksi.

Sementara itu, Indonesia pula dijangka mendapat tentangan sengit oleh pemegang pingat perak edisi ke-25, Vietnam untuk saingan separuh akhir ini.

Senarai skuad Malaysia; Penjaga gol: Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd Izham Tarmizi. Pertahanan: Mahali Jasuli, Mohd Muslim Ahmad, Mohd Fadhli Shas, Mohd Amer Saidin, Fandi Othman, Asraruddin Putra dan Zubir Azmi. Tengah: Baddrol Bakhtiar(kapten), Wan Zaharulnizam, K.Gurusamy, Shukur Jusoh, Irfan Fazail, Yong Kuong Yong dan Nazmi Faiz. Penyerang: Syahrul Azwari, Thamil Arasu, Izzaq Faris dan Fakri Saarani.

Artikel Sebelum

Artikel Lain