suria

Wee Wern Buat Kejutan, Mara Ke Suku Akhir

KUALA LUMPUR: Bekas juara remaja negara Low Wee Wern membuat kejutan besar apabila menumpaskan pemain nombor dua dunia Jenny Duncalf pada pusingan kedua Kejohanan Skuasy Terbuka Hong Kong Khamis.

Wee Wern, pilihan ke-13, hanya mengambil masa 28 minit untuk mengatasi pilihan kedua dari England itu 11-7, 11-7, 11-1 untuk mara ke suku akhir.

Beliau akan berdepan dengan pemain pilihan ketujuh Camille Sermen dari Perancis, menurut laman web www.squashsite.co.uk.

Sermen hanya memerlukan masa 34 minit untuk melangkah ke suku akhir apabila mengalahkan Emma Beddoes dari England, 11-9, 11-3, 11-7.

Ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David turut melangkah ke saingan suku akhir apabila mengecewakan pemain pilihan ke-11, Donna Urquhart dari Australia, 11-6, 11-7 dan 14-12 dalam masa 41 minit.

Nicol, pemain nombor satu dunia dan juara dunia sebanyak enam kali, akan berdepan dengan pemain England, Laura Lengthorn Massaro yang mengalahkan pemain Malaysia, Delia Arnold 11-5, 11-3, 11-5 pada pusingan kedua.

Dalam kategori lelaki, pemain negara Mohd Azlan Iskandar terpaksa bekerja keras untuk mara ke suku akhir apabila menumpaskan pemain pilihan ketujuh, Mohamed El Shorbagy dari Mesir 6-11, 11-6, 14-12 dan 11-7.

Mohd Azlan akan menentang seorang lagi Mesir yang juga bekas pemain nombor satu dunia, Amr Shabana, pada perlawanan suku akhir pada Jumaat.

Amr Shabana, 32, layak ke suku akhir selepas mengatasi rakan senegara Hisham Ashour 11-5, 11-7, 21-10 dalam masa 31 minit.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Wushu Lelaki Hadiah Emas Pertama

Artikel Berikut

Acara Sukan Sea Ke-26, Khamis

Artikel Lain