suria

Sukan Sea: Tiada Pingat Terakhir Perlumbaan Basikal BMX

JAKARTA: Walaupun terlepas peluang mengutip pingat gangsa dalam acara berbasikal Supercross BMX, pelumba wanita negara Masziyaton Mohd Radzi tetap berpuas hati dengan kedudukan itu di Sukan Sea, Jumaat.

"Yang sebenarnya saya tidak ada latihan sebaiknya bagi bertanding dalam acara ini. Tidak jangka pula penyertaan saya ini dapat melayakkan diri ke peringkat akhir malah di tempat keempat," katanya selepas tamat perlumbaan.

Pelumba kelahiran Kedah itu, yang juga pelumba basikal lebuh raya, kalah kepada Suswanti dari Indonesia untuk tempat ketiga setelah dipintas pada saat-saat akhir.

Masziyaton, penyumbang tunggal pingat bagi kontinjen acara berbasikal setakat ini, menyifatkan penyertaan pertamanya bagi acara BMX itu sebagai satu pengalaman berharga.

Pelumba berusia 23 tahun ini meraih pingat perak untuk kontinjen berbasikal menerusi acara Mountain Bike Cross Country pada 13 November lepas di Gunung Pancar, Sentul.

Dalam kategori lelaki pula, Mohd Aim Mohamad Fauzi berada di tangga kelima manakala jaguh berbasikal trek negara, Mohd Rizal Tisin terkandas pada kelayakan ke peringkat akhir.

Mohd Rizal, 27, menjadi prospek pingat bagi acara BMX yang disasarkan oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

"Kekecewaan ini akan saya jadikan pengalaman untuk perbaiki kemampuan diri," katanya.

Pada perlumbaan yang menawarkan dua emas pada hari terakhir hari ini, pelumba Indonesia memenangi kedua-duanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Wushu Lelaki Hadiah Emas Pertama

Artikel Berikut

Acara Sukan Sea Ke-26, Khamis

Artikel Lain