suria

SUKAN SEA: Skuad Memanah Menang 2 Perak

JAKARTA: Pasukan memanah Malaysia memperoleh dua pingat perak pada hari terakhir pertandingan sukan itu dalam temasya Sukan SEA ke-26 di Indonesia.

Dua pemanah yang akan ke Sukan Olimpik London, Nurul Syafiqah Hashim dan Cheng Chu Sian kekurangan empat mata apabila hanya memungut 133 berbanding 137 kepada pemanah Erwina Safitri, Riau Ega Agata Salsabila dari Indonesia dalam acara akhir pertandingan 70 meter Recurve pasukan campuran, yang berlangsung di Lapang Memanah Senayan di sini, Jumaat.

Pemanah Thailand, Pattheera Boonnark dan Witthaya Thamwong mendapat pingat gangsa selepas mengalahkan Dao Loc Thi, Cuong Le Dai dari Vietnam 137-132.

Dalam acara akhir 50 meter Compound pasukan campuran, Fatin Nurfatehah Mat Salleh dan Muhammad Zaki Mahazan juga ketinggalan empat mata, 146-150, di belakang pemenang pingat emas, Aung Ngeain, Ye Min Swe dari Myanmar.

Dellie Threesyadinda dan I Gusti Nyoman Puruhito dari Indonesia memperoleh pingat gangsa dengan mata 148-137 mengatasi Jennifer Dy Chan dan Benjamin Earl dari Filipina.

Sejak acara sukan memanah bermula pada Selasa, pasukan negara memperoleh dua emas, lima perak dan satu gangsa.

Cheng memberikan emas pertama Malaysia pada Selasa dalam acara Recurve Individu lelaki dan semalam, bersama-sama dengan Mohamad Khairul Anuar dan Haziq Kamaruddin memperoleh emas dalam acara Recurve Berpasukan lelaki.

Jurulatih kebangsaan Malaysia dari Korea Selatan, Lee Jae Hyung berkata pasukannya mencapai sasaran dua pingat emas yang ditetapkan Majlis Sukan Negara.

"Keseluruhannya, saya agak berpuas hati dengan prestasi pasukan tetapi pemanah wanita negara perlu berusaha lebih gigih lagi," katanya.

Beliau berkata, pasukannya yang akan berlepas pulang esok tidak menghadapi sebarang pertandingan sehingga Januari tahun depan.

"Tetapi, kita akan terus melakukan latihan intensif kerana tiga daripada pemanah negara Cheng Chu Sian, Mohamad Khairul Anuar dan Nurul Syafiqah Hashim telah menempah tiket ke Sukan Olimpik London tahun depan. Diharapkan, lebih ramai pemanah Malaysia layak ke London," kata beliau.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Wushu Lelaki Hadiah Emas Pertama

Artikel Berikut

Acara Sukan Sea Ke-26, Khamis

Artikel Lain