suria

Sukan Sea: Aaliyah Yoong, Bola Sepak Curi Tumpuan Pada Hari Ketujuh

JAKARTA: Atlet ski negara Aaliyah Yoong Hanifah mencipta sejarah dalam siri Sukan SEA apabila muncul sebagai atlet termuda merangkul pingat emas pada hari ketujuh temasya edisi ke-26, Khamis.

Aaliyah berusia lapan tahun mengungguli kategori tricks dengan memperoleh 2,810 mata pada pusingan pertama sebelum melakukan aksi sebelah kaki pada puisngan kedua untuk meraih 2,960 mata.

Selain itu, kakak Aaliyah, Phillipa turut meraih emas dalam acara luncur air kategori slalom di Tasik Kompleks Sukan Jakabaring, Palembang manakala abangnya Alexander Yoong memenangi perak dalam acara slalom lelaki.

Skuad bola sepak negara turut menceriakan rakyat Malaysia apabila layak ke separuh akhir dalam Kumpulan A dengan mengatasi Indonesia 1-0.

Keputusan itu membolehkan Malaysia muncul juara kumpulan dan akan menentang naib juara Kumpulan B, Myanmar pada perlawanan separuh akhir.

Manakala Indonesia, selaku naib juara kumpulan, akan berdepan dengan Vietnam pada satu lagi perlawanan separuh akhir.

Dalam pada itu, buat pertama kali, Malaysia memintas Singapura untuk menduduki tangga keempat pungutan pingat keseluruhan apabila meraih 10 emas, lapan perak dan enam gangsa.

Di samping sukan luncir air, acara pencak silat menyumbang tiga emas, dan masing-masing sebutir emas dari acara memanah, renang, tenpin boling dan renang laut terbuka.

Keseluruhannya kontinjen negara mengumpul 38 emas, 34 perak dan 50 gangsa untuk mengatasi jiran seberang tambak, Singapura yang semalam berada satu tangga di atas Malaysia.

Tuan rumah Indonesia terus kukuh di persada jumlah kutipan keseluruhan dengan 103 emas, 77 perak dan 72 gangsa, diikuti Vietnam 66-63-64 dan Thailand dengan 63 emas, 56 perak dan 67 gangsa.

Bagaimanapun, Malaysia masih memburu tujuh pingat emas sebelum temasya itu melabuhkan tirainya Selasa depan untuk mencapai sasaran 45 emas.

Ketua Kontinjen di Palembang, Datuk Syed Mustaffa Syed Ali berkata kontinjen Malaysia telah pun melepasi sasaran 21 emas dari acara yang dipertandingkan di Sumatera Selatan.

Kontinjen pencak silat terus mempamerkan aksi cemerlang apabila meraih dua pingat emas pada hari terakhir acara tersebut.

Dua pingat emas itu dihadiahkan Mohd Al Jufferi Jamari dalam acara lelaki kelas E (65kg-70kg) dan Mohd Fauzi Khalid dalam acara lelaki Kelas F (70kg-75kg) selepas mempamerkan aksi bertenaga mengalahkan lawan masing-masing.

Sebelum itu atlet senior, Ahmad Sharil Zailudin tiada masalah meraih pingat emas pertama setelah mengalahkan atlet tuan rumah Sapto Purnomo dengan keputusan 5-0 dalam kategori Kelas D (60-65kg) acara wiralaga.

Perenang kebangsaan, Christina Loh membantu skuad renang melepasi sasaran empat emas apabila menghadiahkan emas kelima menerusi acara 50m kuak dada dengan catatan masa 32.49s.

Trio memanah kebangsaan, Cheng Chu Sian, Mohamad Khairul Anuar dan Haziq Kamarudin menjinakkan Witthaya Thamvong, Khomrit Duangsuwan dan Denchai Thepna 219-215 dari Thailand untuk meraih emas dari acara Recurve 70 meter berpasukan lelaki.

Acara mendayung yang tidak pernah menyumbangkan pingat kepada negara sejak acara tersebut dipertandingkan pada 1997, meraih pingat gangsa dari acara M2 menerusi gandingan Muhammad Alif Abd Halid dan Ahmad Huzaifah Ahmad Izuddin.

Sebanyak35 pingat emas menjadi rebutan pada aksi Jumaat menerusi acara memanah (2), tenpin boling (2), bridge (1), berbasikal (2), ekuestrian (1), lawan pedang (2), judo (4), kempo (4), tenis (2), vovinam (2), ski air (5), mendaki dinding (2), angkat berat (4) dan gusti (2).-BERNAMA

Artikel Sebelum

Wushu Lelaki Hadiah Emas Pertama

Artikel Berikut

Acara Sukan Sea Ke-26, Khamis

Artikel Lain