suria

Sukan Sea: Kontinjen Malaysia Di Palembang Lepasi Sasaran Awal

PALEMBANG: Kontinjen Malaysia di temasya Sukan SEA ke-26 Indonesia, khususnya di Palembang sudahpun melepasi sasaran awal 21 pingat emas.

"Syukur kita sudah lebihi sasaran awal iaitu 21 pingat emas di sini. Hari ini sasaran 21 pingat emas itu diperolehi melalui Phillipa Yoong dalam acara luncur air.

"Dari segi pungutan pingat keseluruhan Malaysia pada temasya kali ini setakat semalam (16 Nov), 20 pingat adalah daripada atlet di Palembang dan lapan di Jakarta," kata Ketua Kontinjen Malaysia di Palembang Datuk Syed Mustaffa Syed Ali.

Beliau ditemui wartawan Malaysia di venue acara luncur air di tasik Kompleks Sukan Jakabaring di sini, Khamis.

Setakat semalam, olahraga menyumbang enam pingat emas, menembak (2), terjun (7), renang (4) dan snuker/billiard (1).

Sementara pada acara hari ini, Malaysia setakat ini menambah dua pingat emas melalui acara luncur air oleh Phillipa Yoong dan adiknya, Aaliyah Yoong, yang menjadi atlet termuda dalam sejarah Sukan SEA meraih pingat emas.

"Inilah pingat (yang dimenangi melalui acara luncur air) yang kita tidak jangka di sini, termasuklah acara snuker dan olahraga 4x400m lelaki. Kejayaan mereka telah menyelamatkan sasaran pingat kita.

"Mereka secara tidak langsung membantu memperolehi kembali pingat yang kita hilang sebab kecederaan atlet dan penarikan diri di saat akhir seperti dalam gimnastik," katanya.

Ditanya sama ada masih ada pingat emas yang disasarkan di Palembang, Syed Mustaffa berkata sasaran pingat masih diletakkan dalam acara akuatik.

Malaysia masih berpeluang meraih pingat emas dalam acara renang pada sebelah malam hari ini dan juga renang berirama Sabtu ini.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain