suria

Mat Zan Sasar Satu Piala 2012

KUALA TERENGGANU: Jurulatih baru Terengganu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2012, Mat Zan Mat Aris menyasarkan sekurang-kurangnya satu piala akan dimenangi Terengganu tahun depan.

Ini kerana, menurut Mat Zan yang pernah membimbing dan membawa Terengganu menjulang Piala Malaysia 2001, pasukan itu mempunyai barisan pemain yang hampir serupa 2001.

"Dengan barisan pemain yang ada serta komitmen pegawai-pegawai, saya rasa kita mampu membawa pulang Piala Malaysia tahun depan," kata bekas jurulatih Kuala Lumpur itu kepada pemberita di sini.

Tahun ini, Terengganu gagal menjulang Piala Malaysia setelah kalah 1-2 kepada Negeri Sembilan dalam pertandingan akhir di Shah Alam, Selangor.

Menurut Mat Zan, dalam masa yang sama tumpuan juga akan diberikan untuk membawa pulang piala-piala yang lain yang dipertandingkan di liga tersebut.

Katanya beliau menggalas tanggungjawab yang besar untuk memastikan pasukan Terengganu terus mengekalkan kecemerlangan dan tugas itu bertambah mencabar apabila pemain import dibenarkan beraksi pada tahun depan.

"Saya tidak menafikan ini satu tekanan tetapi sebagai jurulatih kita akan terima," tegas beliau.

Mat Zan berkata beliau yakin pasukan Terengganu tahun depan akan bertambah mantap dan cemerlang dengan adanya pemain-pemain import yang berkualiti dan hebat.

Beliau berkata Terengganu akan menggunakan pemain import bagi memantapkan lagi jentera barisan tengah dan serangan di samping pemain-pemain tempatan.

Pasukan Terengganu sepatutnya memulakan latihan di padang Sekolah Menengah Sultan Sulaiman Batu Buruk di sini semalam tetapi ditunda kerana hujan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain