suria

Sukan Sea: Konsentrasi Bantu Nur Suryani Bidik Emas Kedua

PALEMBANG: Konsentrasi yang jitu membolehkan penembak kebangsaan, Nur Suryani Muhamed Taibi membidik pingat emas kedua selepas mengungguli acara 10m Air Rifle wanita pada temasya Sukan SEA ke-26 Indonesia di sini, Selasa.

Nur Suryani berjaya mengatasi saingan sengit penembak Singapura Jasmine Ser Xiang Wei dengan kelebihan 1.1 mata untuk merangkul emas dengan mengumpul 497.1 mata.

Sebelum ini, Nur Suryani menghadiahkan emas pertama negara dalam acara 50m Rifel 3 Posisi pada Sabtu lalu.

"Seperti dalam acara 50m Rifel 3 Posisi, saya sememangnya tidak sasar akan dapat pingat emas. Saya cuma mahu melakukan yang terbaik dan saya berpuas hati bila selesai acara menembak. Bila menang pingat emas ini, saya rasa amat bersyukur," katanya.

Pada peringkat akhir acara berkenaan, Nur Suryani berjaya mengumpul 497.1 mata, manakala Jasmine Ser memperoleh pingat perak dengan 496 mata manakala pingat gangsa menjadi milik penembak Thailand Patornnut Hongprasert dengan 495.2 mata.

Sementara seorang lagi penembak negara, Shahera Rahim Raja sekadar menduduki di tangga kelima dengan mengumpul 491.9 mata.

"Tadi saya rasa gementar juga sebab saya mendahului lain-lain peserta. Kalau saya yang mengekori, saya rasa kurang sedikit rasa gementar itu.

"Saingan utama saya, Singapura. Dia (Jasmine) memang pesaing kuat saya sejak dari Sukan Komanwel (New Delhi) lepas," kata Nur Suryani.

Katanya selepas temasya Sukan SEA beliau akan mengikuti latihan pusat bagi menghadapi Kejohanan Asia di Doha, Qatar, pada Januari derpan.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain