suria

Sukan Sea: Cheong Tambah Pingat Emas Dalam Acara Terjun

PALEMBANG: Atlet terjun negara Cheong Jun Heong meraih satu lagi pingat emas dalam acara individu wanita 3m platform pada Sukan Sea ke-26 yang berlangsung di Pusat Akuatik di sini, Selasa.

Atlet berumur 21 tahun itu mempamerkan persembahan mengagumkan untuk mengumpul 310.70 mata selepas lima terjunan, jauh mendahului rakan senegara Ng Yan Yee di tempat kedua dengan 290.10 mata.

Atlet Indonesia Sari Ambarawati, yang mengumpul 270.60 mata membawa pulang pingat gangsa.

Cheong yang berpengalaman luas dalam acara itu, pertama kali mengambil bahagian dalam temasya Sukan Sea ketika berumur 13 tahun di Vietnam pada 2003, telah mendahului pungutan mata daripada pusingan pertama lagi.

Terjunan terbaiknya ialah pada pusingan keempat apabila "melakukan junam dua setengah pusingan dengan darjah kesukaran 3.0’ dengan diberikan 64.50 mata oleh pengadil.

“Ia agak mencabar buat diri saya untuk melakukan terjunan itu. Saya gembira dapat melakukannya dengan baik dan gembira berjaya mendapatkan emas buat Malaysia," katanya kepada wartawan Malaysia selepas pertandingan itu.

Bagaimanapun, anak kelahiran Perak itu masih belum berpuas hati dengan persembahan keseluruhannya.

"Saya rasa saya boleh buat lebih baik lagi. Saya perlu lebih banyak berlatih untuk meningkatkan pergerakan dan daya konsisten," kata Cheong yang memenangi pingat pertama Sukan Sea di Laos pada 2009.

Cheong menyumbangkan pingat emas keempat daripada acara terjun dan meneruskan dominasi Malaysia dalam acara itu.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain