suria

Sukan Sea: Skuad Kim Swee Tewaskan Kemboja 4-1

JAKARTA: Peluang Malaysia ke separuh akhir dalam Kumpulan A masih terbuka apabila mengalahkan Kemboja 4-1 pada saingan bola sepak Sukan SEA ke-26 di Stadium Gelora Bung Karno di sini, Ahad.

Malah kemenangan tersebut menafikan ejekan dan cemuhan yang dilemparkan oleh penyokong tuan rumah semasa perlawanan berlangsung apabila tiga jaringan pada babak pertama terlebih dahulu meletakkan skuad kendalian Ong Kim Swee dalam keadaan selesa.

Dengan kemenangan tersebut, peluang skuad negara ke separuh akhir bergantung pada perlawanan menentang tuan rumah Indonesia, Khamis ini.

Skuad bawah 23 tahun itu sekurang-kurangnya perlu seri ke atas Indonesia untuk menyalakan misi mempertahankan pingat emas pada temasya 2009 di Vientiane, Laos.

Barisan serangan yang kian mantap dan banyak melakukan gerakan menarik sebaik babak pertama bermula membuahkan hasil apabila Malaysia membuka tirai jaringan menerusi penyerang Izzaq Faris Ramlan.

Pemain tinggi lampai itu mudah menyempurnakan tandukan cantik untuk mengalahkan penjaga gol Kemboja Sou Taty seawal minit ketujuh yang berpunca daripada hantaran tinggi dibuat oleh pemain tengah Yong Kuong Yong dari luar kotak penalti.

Malah gerakan pantas tiga serangkai pemain hadapan negara Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Izzaq dan ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar sekali-sekala mengucar kacirkan gawang lawan namun beberapa peluang terbaik untuk menambah gol gagal menemui penyudah.

Bagaimanapun peluang untuk gol kedua berhasil apabila Baddrol menambah koleksi gol negara pada minit ke-35 apabila dia melepaskan percubaan rembatan dari jarak 35 meter dan mengatasi penjaga gol Kemboja yang gagal membaca bola yang melantun sebelum bola menerjah ke dalam gawang.

Permainan yang menghiburkan dipamerkan skuad negara semasa berlangsung babak pertama menghasilkan gol seterusnya apabila selang empat minit kemudian, Baddrol mudah menyempurnakan sepakan penalti untuk gol ketiga negara akibat Izzaq Faris yang dikasari oleh pemain Kemboja, Lay Raksmey.

Namun, pasukan lawan yang dikendali oleh Tae Hoon Lee bangkit di babak kedua dan akhirnya memperoleh jaringan saguhati hasil rembatan Chhin Chhoeun pada minit ke-59.

Selang beberapa saat sebelum babak kedua tamat, Wan Zaharulnizam memastikan gol keempat dihasilkan buat Malaysia pada minit ke-90 sebelum wisel penamat ditiup oleh pengadil Emiriah Arab Bersatu (UAE), Fahad Alkassar.

Senarai pemain:

MALAYSIA: Khairul Fahmi Che Mat, Mahali Jasuli (Mohamad Fandi Othman), Mohd Fadhli Mohd Shas, Mohamad Muslim Ahmad, Mohd Asraruddin Putra Omar, Mohd Irfan Fazail, Yong Kuong Yong (Ahmad Fakhri Saarani), Muhd Nazmi Faiz Mansor, Baddrol Bakhtiar, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Izzaq Faris Ramlan (A. Thamil Arasu).

KEMBOJA: Sou Taty, Lay Raksmey, Sok Rithy, Sok Sovan, Pheak Radhy, Touch Pancharong (Sok Pheng), Chhun Sothearath, Phourng Soksana, Khuon Laboravy, Chhin Chhoeun, Sos Suhana (Tun Saray).-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain