suria

Sukan Sea: Skuad Badminton Berpasukan Lelaki Bertemu Indonesia Pada Aksi Akhir

JAKARTA: Malaysia akan menentang musuh tradisi Indonesia pada perlawanan akhir acara berpasukan badminton lelaki pada Sukan SEA ke-26 di Stadium Istora Senayan di sini Selasa ini.

Malaysia menyalakan impian mengutip pingat emas yang kali terakhir dirangkul pada Sukan SEA Manila pada 2005.

Pada saingan separuh akhir Ahad, Malaysia mengatasi Singapura manakala tuan rumah Indonesia, terpaksa bekerja keras untuk melepasi Thailand 3-2.

Pemain perseorangan negara Daren Liew memungut mata pembukaan apabila mempamerkan aksi garang menundukkan Derek Wong 21-17, 21-18 dalam perlawanan yang mengambil masa 40 minit.

Mata kedua negara pula dimenangi pasangan Lim Khim Wah-Goh Wei Shem dengan mudah apabila hanya mengambil masa 25 minit untuk mengalahkan pasangan Liu Yi-Terry Yeo Zhang Jiang.

Mohamad Arif Ab Latif melengkapkan kemenangan pasukan lelaki negara setelah dipaksa bekerja keras hingga ke set ketiga sebelum pemain Singapura, Ashton Chen Yongzhao akur dengan keputusan 21-14, 12-21, 21-15.

Sementara itu, Daren, atlet kelahiran Kota Kinabalu Sabah, ketika ditemui Bernama berkata beliau cuba mengawal diri dan bertenang ketika berdepan lawannya dari Singapura itu walaupun adakalanya rentak permainan beliau agak terjejas.

"Saya menerima cabaran pemain Singapura itu dengan tenang walaupun ia kadang kala menjejaskan rentak saya ketika itu.

"Kemenangan ini merupakan peluang terbaik buat saya untuk mempamerkan yang terbaik pada penyertaan edisi kedua Sukan SEA seterusnya menghadiahkan peluang emas badminton buat negara," katanya.

Untuk rekod, kali terakhir pasukan lelaki negara meraih emas adalah pada temasya di Manila 2005, bagaimanapun gagal mempertahankan kemenangan itu setelah gagal ke perlawanan akhir.

Pada temasya di Vientiane, Laos, dua tahun lepas, pasukan negara kalah 1-3 kepada Indonesia.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain