suria

Sukan SEA: Bryan-Yeoh Sumbang Emas Ke-10 Negara

PALEMBANG: Pasangan penerjun Bryan Nickson Lomas dan Yeoh Ken Nee mengungguli acara 3m papan anjal seirama untuk menyumbang pingat emas ke-10 untuk Malaysia pada Sukan SEA ke-26 di sini, Isnin.

Penerjun berpengalaman itu menghasilkan emas kedua menerusi sukan terjun di Pusat Akuatik Jakabaring di sini selepas pingat emas dalam acara yang sama diperolehi menerusi gandingan penerjun wanita Leong Mun Yee dan Ng Yan Yee pada Ahad.

Bryan-Yeoh berjaya melakukan terjunan dengan tahap kesukaran yang lebih tinggi dalam enam terjunan untuk mengumpul 392.31 mata bagi mengenepikan cabaran penerjun Filipina dan tuan rumah Indonesia.

Pasangan Filipina Nino Crog dan Jaime Asok mengumpul 342.99 mata untuk membawa pulang pingat perak manakala gangsa menjadi milik Andriyan Andriyan dan Ahmad S. Jamjami dari Indonesia dengan 332.40 mata.

"Walaupun saingan tidak sengit seperti kejohanan antarabangsa yang lain, kami tetap buat yang terbaik dan kami puas hati dengan prestasi hari ini," kata Bryan kepada wartawan Malaysia selepas majlis penyampaian pingat.

Yeoh pula berkata temasya Sukan SEA ini lebih merupakan latihan bagi mereka membuat persiapan menghadapi Kejohanan Terjun Piala Dunia 2012 di London, Februari depan.

Kedua-dua penerjun veteran itu telahpun mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik London 2012. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain