suria

Sukan Sea: Berpasukan Badminton Wanita Kongsi Gangsa Bersama Singapura

JAKARTA: Aksi garang beregu wanita negara Vivian Hoo-Woon Khe Wei ketika menewaskan pasangan Vita Marissa-Nadya Melati ternyata belum memadai bagi menghalang kekalahan Malaysia kepada Indonesia 1-3 di separuh akhir badminton berpasukan wanita Sukan SEA ke-26, Ahad.

Kegagalan ini menyaksikan skuad wanita negara sekadar berkongsi pingat gangsa bersama Singapura setelah masing-masing terkandas di saingan separuh akhir pada aksi di Stadium Istora Senayan.

Bagaimanapun, penentuan juara akan diketahui pada Selasa apabila tuan rumah bertemu Thailand setelah pasukan dari negara Gajah Putih itu membenam cabaran Singapura 3-0.

Ini meleburkan impian negara untuk mempertahankan pingat emas badminton berpasukan wanita yang dimenangi pada edisi 2009 di Vientiane, Laos setelah kali terakhir melakukan pada temasya Kuala Lumpur 1977.

Strategi Indonesia menurunkan pemain perseorangan berpengalaman Adriyanti Firdasar untuk berdepan pemain negara Lydia Cheah membuahkan hasil apabila kemenangan memihak kepadanya dengan keputusan 7-21, 21-13 dan 21-14 pada perlawanan yang mengambil masa 49 minit.

Terdahulu, Malaysia ketinggalan 0-1 selepas Tee Jing Yi tewas 21-18, 13-21, 15-21 kepada Linda Wenifanetri selepas bertarung selama sejam 13 minit.

Bagaimanapun, Vivian-Khe Wei menghidupkan kembali peluang Malaysia apabila menang dalam set penentuan setelah terikat seri 1-1 sebelum membenam pasangan tuan rumah itu dengan mata tipis, 21-19, 21-23, 28-26 dan menjadikan kedudukan mata berpasukan wanita 1-1.

Marylen Ng-Lim Yin Loo yang dipertanggungjawabkan menggalas cabaran beregu kedua, gagal memenuhi harapan apabila tewas mudah dalam dalam dua set 8-21, 16-21 kepada Nitya Maheswari Khrishinda-Anneke Feinya Agustine, menjadikan kedudukan 1-3.

Ketua jurulatih beregu wanita dan campuran negara Rexy Mainaky bagaimanapun berpuas hati dengan persembahan semua pemain yang dianggap memberi saingan hebat meskipun tewas.

"Saya sedih tapi puas hati dengan pencapaian mereka. Sekiranya mereka mempamerkan aksi seperti ini dalam aksi kelayakan Piala Uber Febuari nanti, saya rasa Malaysia mampu membuat kejutan," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Bagi berpasukan lelaki, saingan ke peringkat akhir dan bertemu Singapura bakal berlangsung lewat petang ini.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain