suria

Sazali Abdul Samad Gagal Pertahan Gelaran Mr Universe

MELAKA: Juara Mr Universe enam kali Sazali Abdul Samad gagal mempertahankan gelaran tersebut buat kali ketujuh pada kejohanan Bina Badan Dunia yang berlangsung selama dua hari di sini, Sabtu malam.

Sazali, juara Mr Asia sebanyak tujuh kali itu hanya mampu meraih tempat kelima. Beliau dikalahkan oleh atlet bina badan dari Iran, Moharam Panahi.

Seorang lagi ahli bina badan negara, Wong Hong beraksi cemerlang apabila menduduki tempat ketiga.

Bagaimanapun, Sazali merangkul emas dalam kategori lightweight 70 kg dengan mengumpul 10 mata.

"Walaupun berada di tempat kelima, saya berasa bangga kerana masih mampu dan boleh capai ke tahap ini dan masih lagi boleh mengekalkan perjuangan untuk meraih tahap yang lebih tinggi," katanya kepada pemberita di Jonker Walk di sini.

Atlet dari Qatar, Kamal Abdul Salam menduduki tempat kedua dan Abbolfazi Nadivi dari Iran di tempat keempat.

Sazali, seorang anggota polis berpangkat sarjan mejar berusia 44 tahun itu memenangi kejuaraan Mr Universe pada tahun 2000, 2004, 2006, 2007, 2009 dan 2010.

Beliau menjadi juara Mr Asia sebanyak tujuh kali (1996, 1998, 1999, 2000, 2004, 2009 dan 2010) dan dua kali memenangi Kejohanan Persekutuan Bina Badan Dunia (2009 and 2010).

Sementara itu, Wong Hong berkata kejayaan pertama beliau itu adalah satu kenangan paling manis setelah 22 tahun menceburkan diri dalam sukan bina badan.

Katanya cabaran yang dihadapi dalam kejohanan tersebut amat hebat di mana persaingan antara atlet yang mengambil bahagian sangat sengit.

"Persaingan kali ini sangat hebat terutamanya atlet dari Iran dan Eropah dan saya tidak sangka akan berjaya menyaingi mereka kerana harapan saya hanya akan memperoleh tempat kelima," katanya.

Iran menduduki tempat pertama dengan mengumpul 106 mata, Malaysia di tempat kedua dengan 102 mata dan Thailand di tempat ketiga dengan 42 mata.

Lebih 80 peserta dari 38 negara menyertai kejohanan tersebut. Selain itu, Sazali dan Wong Hong bakal menyertai kejohanan Pro Amateur Klasik yang akan berlangsung di Singapura pada 16 November ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Atlet Karate Gagal Raih Emas

Artikel Lain