suria

Sukan Sea: Atlet Sarawak Sumbang Satu Gangsa Daripada Taekwondo

JAKARTA: Pasangan kecil molek dari Sarawak menyumbang pingat pertama dari Jakarta selepas meraih satu gangsa bagi kategori Poomsae dalam acara taekwondo pada Sukan SEA ke-26, yang berlangsung di Indonesia mulai semalam hingga 22 November.

Dalam acara yang diadakan di Dewan Taekwondo di Cibubur, kira-kira 50km dari pusat bandar raya, Ahmady Radi dan Morren Urai Lian, kedua-duanya dari Bintulu, Sarawak sama-sama meraih gangsa bersama dengan pasangan Laos, Souktavy Panyash dan Nola Ounvongsa, selepas kedua-dua pasangan terikat dengan 7.73 mata.

Vietnam memperoleh emas dengan 8.13 mata manakala Filipina meraih perak dengan 8.02 mata.

Poomsae atau Kata dalam Karate, adalah kategori baharu di bawah sukan taekwondo dan diperkenalkan pada Sukan SEA Laos, dua tahun lalu.

Dengan ketinggian 1.57sm, mereka bersama-sama menjalani latihan sejak belajar di Sekolah Menengah Kidurong di Bintulu. Ahmady, 18, dengan berat badan 51kg, berkata kedua-dua mereka juga merupakan pemenang pingat emas dalam acara Poomsae semasa kejohanan kebangsaan Taekwondo Malaysia (TM) yang diadakan di Kuala Lumpur, Mac tahun ini.

"Kami mengambil bahagian dalam pemilihan kebangsaan dan menyertai skuad kebangsaan, Julai lalu," katanya.

Morren, 23, dengan berat 48kg, menceburi sukan itu secara serius semasa berumur 10 tahun berkata mereka juga memenangi satu gangsa dalam kejohanan Poomsae antarabangsa di Singapura, Disember lepas.

"Dalam acara hari ini, kami berdepan dengan pencabar kelas dunia terutama pasangan Vietnam yang memperoleh satu emas dalam kejohanan dunia di Rusia, Julai lalu, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain