suria

Sukan Sea: Atlet Malaysia Cirit Birit Dipercayai Keracunan Makanan

PALEMBANG: Beberapa atlet Malaysia yang tinggal di Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Jakabaring di sini dilapor mengalami sakit perut dan cirit birit, dipercayai akibat keracunan makanan sejak Jumaat.

"Saya dimaklumkan 10 atlet kita yang kena cirit birit. Bagaimanapun kita tidak tahu apa puncanya. Mereka semua makan di dewan makan Perkampungan Atlet.

"Saya telah melaporkan pekara ini kepada pihak pengurusan dan mereka akan menyiasat pekara itu," kata ketua kontinjen Malaysia di Palembang Datuk Syed Mustaffa Syed Ali ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau berkata 10 atlet terlibat terdiri daripada atlet skuad gimnastik dan menembak.

Sementara itu atlet gimnastik artistik lelaki, Mohd Hamzarudin Nordin berkata beliau mengalami sakit perut dan cirit-birit sejak malam tadi.

"Kami hanya makan makanan yang disediakan dalam Perkampungan Atlet...tak sangka boleh kena cirit birit," katanya ketika ditemui di Dewan Gimnastik, Kompleks Sukan Jakabaring.

Mohd Hamzarudin berkata kesakitan yang dialaminya sudah mula reda selepas mendapat rawatan di pusat perubatan yang terdapat dalam kawasan Perkampungan Atlet. -BERNAMA

Artikel Lain