suria

Penyertaan Pertama Tuai Pingat Buat Hafanizam

PALEMBANG: Penyertaan pertama pada temasya Sukan SEA ke-26 Indonesia, membuahkan pingat buat atlet panjat dinding Hafzanizam Bakhori. Acara memanjat dinding adalah antara acara sukan yang pertama kali dipertandingkan pada temasya sukan dwitahunan itu. Pada acara 'boulder' lelaki yang berlangsung di gelanggang sukan panjat dinding dalam Kompleks Sukan Jakabaring, Hafzanizam terpaksa berpuas hati dengan meraih pingat gangsa.

Pingat emas acara itu dimenangi peserta tuan rumah, A'an Aviansyah dan pingat perak menjadi milik peserta Singapura, Koh Zher Yeow.

"Pada 'route' pertama saya mendahului peserta-peserta lain. Pada route ketiga saya membuat sedikit kesilapan dan kembali mengejar semula pendahulu pada route terakhir (keempat)," katanya.

"Kesilapan itu sememanganya merugikan saya untuk meraih sekurang-kurangnya pingat perak. Saingan saya sememangnya daripada peserta tuan rumah dan juga Filipina," kata Hafzanizam, yang mempunyai 12 tahun pengalaman dalam acara sukan berkenaan.

Untuk mengubat kekecewaan hari ini, beliau bertekad untuk beraksi lebih baik dalam acara Lead yang akan berlangsung pada 16 November ini. -BERNAMA

Artikel Lain