suria

Sukan Sea: Atlet Olahraga Mampu Beri Saingan Terbaik

PALEMBANG: Kemelut yang sering melibatkan atlet olahraga negara sejak kebelakangan ini tidak akan menjadi penghalang buat mereka untuk mempamerkan aksi terbaik di temasya Sukan SEA Indonesia yang akan membuka tirainya secara rasminya Jumaat.

Bagi ketua jurulatih olahraga, Harun Rasheed semua insiden membabitkan atlet olahraga telah diketepikan dan tumpuan mereka kini ialah berjuang untuk menaikkan nama negara di temasya sukan dwi-tahunan itu.

"Fokus kita sekarang ini ialah untuk beraksi dengan cemerlang di sini. Misi mereka di sini adalah untuk membuktikan bahawa mereka adalah yang terbaik di rantau ini.

"Setakat ini, kecergasan mereka untuk menghadapi Sukan SEA berada di tahap 100 peratus bersedia," katanya.

Skuad olahraga negara yang terdiri daripada 33 atlet dan pegawai yang diketuai pengurus pasukan, Rajemah Sheikh Ahmad tiba di Palembang semalam.

"Kita akan memulakan latihan penyesuaian di sini sebaik sahaja menerima jadual sesi latihan daripada pihak penganjur," kata Harun.

Mengenai enam pingat emas yang disasarkan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Harun berkata beliau mahu atlet tidak terlalu memikirkan mengenainya.

"Kita tidak mahu bercerita mengenai sasaran pingat emas. Apa yang penting atlet perlu memberikan persembahan terbaik," katanya.

Prospek KOM untuk meraih enam pingat emas itu diletakkan pada atlet lompat bergalah wanita Roslinda Samsu, Noraseela Mohd Khalid (400m berpagar), Tan Song Hwa (tukul besi wanita), Lee Hup Wei (lompat tinggi lelaki), Teoh Boon Lim dan Lo Choon Sieng (jalan kaki lelaki) serta Yuan Yufang (jalan kaki wanita).-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain