suria

Sukan Sea: Soal Disiplin Tetap Diutamakan -CDM

JAKARTA: Walaupun seramai 456 anggota kontinjen Malaysia ke Sukan SEA di Jakarta akan ditempatkan di 21 buah hotel berasingan, namun aspek disiplin tetap menjadi keutamaan bagi ketua kontinjen negara (CDM), Datuk Naim Mohamad.

Beliau berkata pihaknya juga akan memantau disiplin anggota kontinjen yang akan bertanding di 25 venue di ibu negara Indonesia ini.

"Bukan mudah sebab perlu memantau disiplin 348 atlet dan 108 pegawai yang ditempatkan di 21 buah hotel dan bertanding di 25 venue yang berlainan tetapi saya mendapat bantuan daripada sekretariat kontinjen," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Naim akan dibantu oleh Timbalan Ketua Kontinjen di Jakarta, T. Kumar yang juga Timbalan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Datuk Abdul Jalil Abdullah yang merupakan Pengarah Bahagian Pengurusan Sukan, Majlis Sukan Negara (MSN).

Bagi temasya yang berlangsung di ibu kota ini, pihak penganjur tidak menyediakan perkampungan atlet menyebabkan semua kontinjen termasuk dari Malaysia terpaksa menempatkan atlet masing-masing di hotel-hotel yang berdekatan dengan venue pertandingan.

Naim berkata bagi melicinkan urusan pentadbiran kontinjen, beliau dan dua pembantunya, masing-masing akan memantau tujuh jenis sukan yang ditandingi atlet Malaysia.

"Dengan cara pembahagian tugas ini, beban tersebut dapat diagihkan. Saya juga meminta pengurus pasukan memantau disiplin anak buah mereka," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain