suria

Sukan Sea: Pusat Media Utama Sukan Sea Di Palembang Masih Belum Siap

PALEMBANG: Pihak penganjur Sukan SEA ke-26 masih bergelut menyiapkan Pusat Media Utama bagi kemudahan petugas media sebelum upacara perasmian temasya sukan berkenaan yang akan berlangsung Jumaat.

Pusat Media Utama di sini terletak di tingkat 5 Bangunan Bank Sumsel Babel dalam kawasan Kompleks Sukan Jakabaring.

Semasa tinjauan Bernama semalam, ruang seluas kira-kira 20m x 15m itu masih belum siap sepenuhnya dan apa yang dilihat petugas masih menyiapkan meja yang diperbuat daripada kepingan papan lapis dan kerusi yang masih belum disusun.

Ia juga masih belum dilengkapi kemudahan komputer dan internet.

Dimaklumkan bilik berkenaan hanya mampu menempatkan 200 petugas media dalam satu masa dan ia agak menyukarkan semua petugas media baik dari luar negara mahupun petugas media tempatan untuk mendapatkan sebarang maklumat berkaitan temasya sukan berkenaan.

Bagaimanapun, kemudahan di bilik media yang terletak di Stadium Gelora Sriwijaya sudahpun dipersiapkan dengan kemudahan yang sepatutnya.

Menurut laporan berita tempointeraktif.com, Ketua Panitia Pelaksana SEA Games XXVI (INASOC) Daerah Palembang Muddai Madang berkata pihaknya sudah melaksanakan tugas menyediakan tempat untuk petugas media tempatan dan luar negara untuk menjalankan tugas masing-masing sepanjang temasya Sukan SEA berlangsung.

Menurut Maddai, tanggungjawab untuk menyiapkan sepenuhnya Pusat Media Utama itu terletak di tangan pihak INASOC Pusat.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain